PUTRAJAYA: Seorang pemandu lori sampah ditemukan maut di tempat duduk kelindan ketika sedang bertugas di Jalan Cottage Walk, Cyberjaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar pukul 10.45 pagi.
Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Cyberjaya ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersandar di tempat duduk hadapan kelindan.
“Mangsa berusia 69 tahun dan juga seorang pemandu lori sampah. Siasatan mendapati, tiada unsur jenayah ditemukan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Patologi Hospital Cyberjaya untuk bedah siasat.
Norhizam berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi susulan kejadian itu. – UTUSAN