Pemandu e-hailing bawa Pamela dakwa diarah 'complete job'

Pemandu e-hailing bawa Pamela dakwa diarah ‘complete job’

Pamela Ling
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandu e-hailing yang membawa Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42, pada hari kejadian wanita itu dipercayai dilarikan beberapa individu, mendakwa dipaksa menandakan ‘complete job’ sebelum MyKad dan lesen memandunya diambil suspek, pada 9 April lalu.

Menceritakan kejadian terbabit, individu yang ingin dikenali sebagai Kok ,55, berkata, pada hari kejadian dia mengambil wanita itu dari Velocity Tower, Cheras ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Katanya, ketika dalam perjalanan mereka tidak berbual namun wanita itu ada menghubungi seseorang namun dia tidak mendengar perbualan itu secara jelas.

“Apabila hampir tiba ke bangunan SPRM, tiba-tiba tiga kereta muncul dari depan, belakang dan sisinya terus menghalang laluan.

“Kemudian keluar dua lelaki dan seorang wanita dari dua kereta manakala tiada orang keluar dari satu lagi kereta.

“Saya lihat dua lelaki itu pakai vest polis manakala seorang lagi wanita memakai pakaian seragam polis menghampiri kereta saya serta memaklumkan ingin menahannya (Pamela) bagi membantu siasatan selepas menerima laporan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pada mulanya wanita terbabit enggan keluar dari kereta sebelum wanita berpakaian polis itu cuba hendak tariknya keluar.

Jelasnya, dua lelaki lain kemudian menerangkan ini adalah tangkapan dan mendakwa hanya akan menghantar pelanggan (Pamela) ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

“Barulah ketika itu wanita terbabit turut dan dia membayar RM100 kepada saya untuk kos penghantaran sebelum penculik itu memaksa saya menekan butang complete job,” katanya.

“Mereka juga mengambil Mykad, lesen dan nombor telefon saya sebelum beredar dan kemudian saya tampil membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Malah akibat kejadian itu saya tidak dapat bekerja selama dua minggu kerana menunggu lesen baharu siap,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang 9 April lalu, Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya selepas diculik individu menaiki tiga kereta.

Utusan Malaysia semalam melaporkan polis turut menyiasat dakwaan kehilangan wanita itu sama ada dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Sehingga kini polis masih mengesan keberadaan Pamela malah polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan berhubung kehilangannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN