Pelukan terakhir arwah kakak jadi kenangan - Adik

Pelukan terakhir arwah kakak jadi kenangan – Adik

ANGGIAT TAMBUNAN NORDIN (kiri) ketika ditemui Mohd Fared Mohd Khalid di kediaman arwah ibunya di Kampung Low Piak di Taman Nira Batu Pahat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pelukan terakhir ketika menghantar arwah kakak menunaikan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai akan menjadi kenangan terakhir keluarga hingga ke akhir hayat.

Demikian luah Anggiat Tambunan Nordin, 44, yang memberitahu, arwah kakaknya, Norizah Tambunan, seakan tidak mahu berpisah seolah-olah tahu perjalanan menunaikan rukun Islam kelima itu perjalanan terakhir sebelum menemui pencipta.

Katanya, arwah yang masih bujang di bawah jagaannya kerana dia satu-satu anak lelaki daripada empat beradik.

“Dalam pelukan itu saya sempat membisikkan kepadanya pesan arwah ibu, Azizah Othman bahawa sebagai orang Islam perkara utama perlu dilakukan adalah memastikan kita selamat di dunia selamat di akhirat.

“Arwah anak kedua dan bekerja Penolong Pegawai Tadbir (PPT) di Pejabat Daerah Kluang dan menunaikan haji atas tiket rombongan kerajaan Johor,” katanya ditemui pemberita, hari ini.

Anggiat ditemui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di kediaman arwah ibunya di Kampung Low Piak di Taman Nira Batu Pahat.

Arwah Norizah Tambunan merupakan jemaah haji pertama negara yang meninggal dunia ketika menunaikan ibadah itu dipercayai akibat serangan jantung pada 16 Mei lalu.

“Walaupun sukar menerima pemergian kakak, namun semua keluarga meredainya apatah lagi beliau rebah dan meninggal pukul 6.20 (waktu Mekah) ketika dalam perjalanan untuk melakukan tawaf.

“Arwah kakak disembahyangkan selepas Solat Jumaat dan dikebumikan Tanah Perkuburan Sharayaa di Mekah pada hari sama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan pemergiannya satu kehilangan bagi pentadbiran awam negeri ini.

Kerajaan negeri katanya, memberikan pampasan iaitu bayaran tiket penerbangan berjumlah RM7,800 dan telah dikreditkan ke dalam akaun Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) arwah Notizah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN