Pelbagai kaum, kami sebilik - Fattah Amin seru sertai PLKN - Utusan Malaysia

Pelbagai kaum, kami sebilik – Fattah Amin seru sertai PLKN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pernah menjalani program Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), pelakon, Fattah Amin menyifatkan program tersebut sebagai sumbangan rakyat kepada negara.

Kongsi Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Abdul Amin, 34, penyertaan program itu adalah salah satu bukti semangat patriotisme rakyat Malaysia selain menyertai pertunjukan perbarisan di Dataran Merdeka.

“Kita tidak ada sumbangan khusus kepada negara, paling tidak pun setahun sekali pergi ke Dataran Merdeka, sebab kita hendak buktikan semangat patriotisme kita.

“Jadi program ini adalah salah satu aktiviti spesifik untuk kita sumbangkan kepada negara dan menunjukkan kita cinta akan negara,” katanya.

Fattah berkata demikian sewaktu sesi siaran langsung ‘Jom Join Saya Live’ di akaun TikTok miliknya, pada Jumaat.

Sesi tersebut merupakan perbincangan maklumat berkaitan PLKN bersama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Haji Ya’cob Haji Samiran.

Dalam pada itu, Fattah menceritakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan olehnya sewaktu berkhidmat dalam PLKN.

“Kita tahu Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum, tapi PLKN adalah program yang ketika itu saya ada kawan berbangsa Cina, India, Sabah dan Sarawak paling banyak.

“Kita duduk dalam satu bilik, jadi semua aktiviti kita lakukan bersama-sama. Betul-betul satu Malaysia waktu itu.

“Kita sambung belajar pun tidak tentu lagi akan dapat kawan-kawan berbilang kaum, jadi program inilah satu-satunya yang saya ingat sampai sekarang,” katanya.

Tambah Fattah, pengalaman menyertai PLKN membantunya dalam menjadi seorang umat Islam yang lebih berdisiplin dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia.

“Dalam program itu, kita perlu bangun pagi untuk solat subuh, berkawad, bersenam dan makan mengikut aturan dan masa ditetapkan. Perkara itu membuatkan kita akan rasa disiplin.

“Perkara ini bagus sebenarnya untuk orang Islam lebih-lebih-lagi ketika solat berjemaah, makan ramai-ramai, itu yang saya rasa kalau dekat rumah, kita sendiri tidak tahu lagi boleh buat aktiviti itu,” katanya.

Sementara itu, pelakon yang terkenal dengan drama Suri Hati Mr. Pilot itu juga menyeru kepada selebriti-selebriti muda yang terpilih untuk menyertai program tersebut.

“Sekarang kita ada banyak penyanyi, pelakon dan juga pempengaruh, mungkin mereka yang terpilih boleh pergi ke PLKN dan berkongsi pengalaman-pengalaman menarik kepada orang ramai.

“Macam saya, saya sudah tidak boleh, saya sudah pernah sertai program ini dahulu. Kini giliran anda pula,” katanya berseloroh.

Difahamkan, Fattah Amin pernah mengikuti PLKN di sebuah kem yang terletak di Kampung Papar, Sabah beberapa tahun lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya