Pelancong warga China lemas di Pulau Sipadan

Pelancong warga China lemas di Pulau Sipadan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki warga China meninggal dunia akibat lemas selepas menyertai aktiviti menyelam di Pulau Sipadan di sini semala.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd. Sobri Zainol berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 6.45 petang selepas mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau.

Katanya, pelancong berusia 37 tahun dipercayai turun menyelam kira-kira pukul 10.45 pagi tanpa pengawasan dan kebenaran jurulatih sebelum dilihat panik serta tenggelam.

“Mangsa antara lapan penyelam dari pelbagai negara menyertai aktiviti menyelam di Pulau Sipadan dengan dikendalikan seorang jurulatih bersama empat juru selam profesional lain.

“Seorang daripada juru selam kemudiannya menyelam dan berjaya menemukan mangsa pada kedalaman kira-kira 25 meter dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Sobri lagi, mangsa diberikan bantuan pernafasan namun hanya menunjukkan respons dengan menarik nafas panjang dan muntah sebelum kembali tidak sedarkan diri.

Katanya, dia kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Tawau namun disahkan meninggal sebaik tiba.

“Pelancong itu menyertai aktiviti menyelam bersama isterinya yang turut berada di atas bot semasa kejadian berlaku,” katanya.

Mohd. Sobri berkata berkata pihaknya membuka satu kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) manakala proses bedah siasat dijadualkan pada pukul 2 petang ini di Hospital Tawau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN