SETIU: Seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air dalam kejadian di Lata Payung, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, polis menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.30 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa, Abed Mifzal Azman, 22, dikatakan datang bersama enam lagi rakannya untuk berkelah sebelum kejadian kepala air dikatakan berlaku kira-kira pukul 5.15 petang .
“Mangsa yang dikatakan berada di atas batu berhampiran tebing sungai dihanyutkan arus deras ketika mahu menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Lata Payung di sini hari ini.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan dengan dibantu oleh 26 anggota dan pegawai yang terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN