KUANTAN: Pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A layak menerima biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan bagi memastikan pelajar cemerlang diberi peluang melanjutkan pengajian tinggi tanpa beban kewangan.
“Jika pelajar memperoleh 10A, saya boleh jamin permohonan mereka diterima secara automatik ke UNIKL dan UPTM. Saya telah arahkan Ketua Pengarah dan perkara ini turut dipersetujui oleh Pengerusi Mara.
“Pelajar 10A akan diberikan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Kebangsaan 2025 yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelajar yang memperoleh keputusan sederhana tidak dipinggirkan, sebaliknya diberi peluang melanjutkan pengajian melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Bagaimana dengan mereka yang hanya memperoleh tiga kredit? Adakah mereka tidak berpeluang melanjutkan pelajaran? Jangan risau, kita ada TVET. Kita akan salurkan lepasan SPM ini ke 1,399 institusi TVET di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Mara melalui YPM terus memainkan peranan menjaga kebajikan pendidikan anak muda termasuk mereka yang kurang cemerlang dalam akademik.
“Untuk yang berkelulusan rendah pun, YPM akan mengusahakan penempatan di institusi TVET dan kolej di bawah institusi pendidikan Mara. Insya-Allah, Mara terus menjadi pembela nasib generasi muda yang tidak berpeluang cemerlang dalam bidang akademik,” katanya. – UTUSAN