PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan dalam masa terdekat senarai penuh sekolah-sekolah yang akan dibenarkan untuk melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN pada akhir bulan ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekolah-sekolah yang akan dikenal pasti oleh KPM itu antaranya berada sekitar lokasi atau pun laluan utama ke persidangan tersebut.
“Senarai sekolah ini akan diumumkan dan para pelajar akan dibenarkan untuk melakukan PdPR. Senarai penuh akan diterbitkan oleh pihak KPM nanti,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini, manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula penghujung Oktober.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, sidang kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei akan melibatkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN manakala mesyuarat pada 27 Mei akan melibatkan ketua-ketua negara ASEAN dengan ketua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Dalam pada itu, Fahmi yang juga merupakan jurucakap kerajaan berkata, syarikat-syarikat swasta yang berpangkalan atau beribu pejabat di sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 digalakkan untuk membenarkan para pekerja mereka bekerja dari rumah (WFH).
Selain itu, Fahmi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mengumumkan laluan-laluan utama yang akan digunakan oleh ketua kerajaan dan ketua negara yang bakal tiba bagi Sidang Kemuncak ASEAN.
Jelasnya, antara kawasan yang bakal terlibat termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dan Pangkalan Tentera Udara Subang.
“Selain itu, terdapat sejumlah laluan yang akan diumumkan termasuk di kawasan sekitar sidang kemuncak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan sejumlah hotel-hotel penginapan yang akan jadi tempat penginapan bagi delegasi ASEAN,” katanya. – UTUSAN