PUTRAJAYA: Kerajaan kini membenarkan pekerja asing untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan membenarkan pertukaran majikan dalam sektor penggajian yang sama sahaja.
“Syarat sebelum ini menetapkan, pertukaran majikan boleh dilakukan dengan syarat sama ada penstrukturan syarikat, penutupan syarikat, pembesaran syarikat atau atas kelulusan suatu jawatankuasa yang dikendali oleh Jabatan Tenaga Kerja.
“Dengan keputusan ini, pekerja asing dibenar untuk memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian,” katanya hari ini.
Katanya, perubahan dasar ini akan memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi juga kepada majikan dan pekerja asing.
Saifuddin berkata, ia juga satu amalan baik yang disarankan oleh organisasi-organisasi antarabangsa berkaitan buruh malah, telah diguna pakai oleh negara-negara maju yang lain.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mesyuarat sama turut bersetuju dengan syor oleh Jabatan
Imigresen Malaysia (JIM) supaya perihal pengurusan memo Periksa Keluar (Check Out Memo – COM) pekerja asing
diperkasa.
Menurutnya, dengan persetujuan pada hari ini, majikan wajib untuk hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing seperti mana majikan mengurus kemasukan pekerja asing.
“Kekhilafan atau kegagalan majikan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan sekatan urusan keimigresenan lain,” katanya.
Jelasnya lagi, semua pihak adalah dimohon supaya cakna akan ketetapan dasar kerajaan dan mematuhi peraturan yang digariskan tanpa gagal.
“Dalam hal ini, kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang berkuat
kuasa,” katanya. – UTUSAN