PDX2025 platform bantu peniaga hadapi cabaran transformasi digital

PDX2025 platform bantu peniaga hadapi cabaran transformasi digital

LUKAS Tan (depan, tengah) ketika sidang akhbar sempena penganjuran PDX2025 di Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Era digitalisasi ketika ini menuntut banyak syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkasa perniagaan masing-masing untuk kekal relevan serta lebih berdaya saing pada masa depan.

Menyedari kepentingan proses digitalisasi dalam perniagaan, sebuah syarikat berasaskan perisian dan teknologi maklumat, OPERION Ecommerce & Software Sdn. Bhd. (OPERION) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pameran dan Persidangan Pendigitalisan Pulau Pinang 2025 (PDX2025) pada 21 Mei ini.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif OPERION, Lukas Tan berkata, PDX2025 yang julung kalinya diadakan itu secara keseluruhannya melibatkan 34 pempamer, 10 panelis serta empat agensi kerajaan.

Beliau yang juga pengerusi penganjur berkata, antara pampamer yang terlibat termasuk Digital Penang, Alliance Bank, Telekom Malaysia (TM), Taxman, EasyStore, Awantec, Newpages, Sales Hero, Aenon Solutions dan lain-lain.

“Dari segi jumlah peserta pula, pada mulanya, kita menyasarkan sehingga 500 peserta dan ketika ini, jumlah itu telah melebihi 370 orang. Jumlah ini pun sebenarnya sudah memuaskan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai program tersebut, kelmarin.

Selain pameran, sesi seminar sempena PDX2025 itu juga dijangka menjadi perhatian apabila beberapa topik hangat yang dihadapi oleh peniaga ketika ini akan dibincang dan dikupas secara lebih mendalam menerusi slot ceramah termasuk berkaitan e-invois, geran serta insentif perniagaan untuk PKS.

Slot ceramah ini akan dikendalikan oleh beberapa wakil syarikat atau agensi termasuk daripada OPERION sendiri, SIRIM Berhad (SIRIM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan lain-lain.

Dalam pada itu, Lukas memberitahu, ketika ini, pakej untuk menyertai seminar terbabit masih dibuka dengan harga RM50 bagi setiap penyertaan atau RM88 bagi dua penyertaan sekaligus.

“Peserta yang membuat bayaran eksklusif sebanyak RM799 pula bukan sahaja boleh menyertai acara seminar pada 21 Mei ini, malah, mereka juga berpeluang untuk mengikuti sesi latihan e-invois selama sehari iaitu pada bulan Jun,” katanya yang berharap agar peniaga tidak melepaskan peluang keemasan untuk mengambil bahagian dalam PDX2025 ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze yang turut hadir ketika sesi sidang akhbar menyambut baik langkah OPERION untuk menganjurkan PDX2025 yang disifatkannya bagus dalam membantu memperkasa PKS khususnya di Pulau Pinang.

“Saya akui bahawa transformasi digital ini kadang-kadang boleh menjadi terlalu membebankan, terutamanya bagi perniagaan kecil termasuk mereka yang baharu hendak berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

“Maka, sebab itulah platform seperti PDX 2025 ini boleh menjadi sangat berharga kerana ia menyediakan panduan yang jelas dan praktikal serta sumber yang mudah diakses dalam satu tempat untuk membantu peniaga melalui digitalisasi dengan lebih yakin,” ujar Syn Tze.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN