TELUK INTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih selamat melibatkan penugasan anggota termasuk ketika pergerakan secara konvoi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, SOP itu akan dikemukakan dalam masa terdekat setelah perbincangan diadakan bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Saya sudah bercakap dengan pengarah KDNKA untuk melihat semula konvoi penugasan bukan sahaja untuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tetapi juga Pasukan Gerakan Am (PGA), pengawal pengiring bagi membawa tertuduh serta kenderaan membawa anak-anak polis ke sekolah.
“Jadi, dalam masa terdekat ini mungkin kita akan datangkan satu SOP atau cadangan yang terbaik untuk anggota-anggota kita bertugas.
“Insya-Allah, jawatankuasa tertinggi KDNKA dan saya akan bincangkan perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat anggota FRU yang terlibat kemalangan dan kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.
Menurut Razarudin, antara cadangan awal yang sedang diteliti termasuk penyediaan bas bagi menggantikan trak pengangkut dalam penugasan berskala besar.
Dalam aspek kebajikan pula, beliau memberi jaminan PDRM akan memastikan segala bentuk sokongan yang diperlukan oleh mangsa dan keluarga akan diberikan tumpuan.
Katanya, perkara itu termasuklah menguruskan aspek insurans dan pampasan kematian kepada keluarga anggota yang terkorban bagi meringankan beban mereka.
“Apa sahaja keperluan yang mampu kita sediakan, akan kita usahakan. Dari A hingga Z kita akan beri perhatian kerana ini soal keluarga besar kita,” katanya.
Terdahulu, Razarudin meluangkan masa melawat Koperal Mohamad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, dan Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39, yang dirawat di wad biasa Hospital Teluk Intan.
Beliau turut mengunjungi Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; Koperal Mohd. Izwan Ishak, 39; dan Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
Sebelum ini, Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, merupakan anggota FRU kedua yang dibenarkan keluar hospital selepas Koperal Nizam Tarmizi, 38, pada petang hari kejadian Selasa lalu.
Seorang lagi anggota, Koperal Syed Isfan Syed Syed Mohammad, 39, kini dirawat di wad ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh. – UTUSAN