KUALA LUMPUR: Sistem pertahanan negara bakal dipertingkatkan dengan penerimaan aset-aset ketenteraan baharu, moden dan canggih.
Antara aset-aset tersebut ialah pesawat Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) ANKA buatan Turkiye dan 48 set sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) dari Norway, pesawat pejuang ringan (LCA)FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan dan pesawat rondaan maritim (MPA) dari Itali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua aset-aset itu akan diterima pasukan pertahanan negara seawal bulan ini, Disember tahun ini dan Oktober 2026 hingga Ogos 2027.
“Kesemua perolehan aset ketenteraan tersebut dibuat melalui tender terbuka dan rundingan terus kerajaan dengan kerajaan (G2G).
“Cara ini bukan sahaja lebih berkesan bahkan mengurangkan tekanan komisen ‘orang tengah’ dalam rundingan pembelian,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Anwar, keputusan itu diambil susulan kemelut dan skandal sejak puluhan tahun yang berlaku dalam Kementerian Pertahanan membabitkan pelbagai perolehan seperti helikopter, Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan lain lain.
Katanya, susulan itu, beliau memutuskan untuk hanya menggunakan proses tender terbuka dan dalam beberapa keadaan membuat rundingan terus secara G2G.
“(Rundingan terus) kerajaan dengan kerajaan itu apabila dibincangkan, kos terus menurun kerana komisyen untuk ejen (yang) melampau tinggi telah dihentikan dan sebab itu proses (perolehan) pun sampai.
“Kalau dulu order (pesan) mesti sangkut, sekarang umpamanya untuk pesawat Unmanned Ariel System dari Türkiye, Insya-Allah, bulan Disember sampai. Kemudian, set sistem pelancar S2S untuk TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dari Norway sampai bulan ini.
“Sebanyak 48 unit pelancar S2S untuk TLDM sudah 86 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya 2025, ini saya ucap terima kasih (kepada) TLDM dan kegiatan di Lumut kerana (isu) sudah berlarutan. Berpuluh tahun berhempas pulas bawa ke Parlimen, kajian sana sini, sekarang, Alhamdulillah lebih teratur,” katanya.
Malaysia sebelum ini menempah sistem pesawat tanpa pemandu MALE-UAS ANKA daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) buatan Turkiye bagi memperkukuh aspek risikan dan pemantauan Udara.
Di samping itu, TLDM juga bakal menerima sistem peluru berpandu anti kapal Naval Strike System (NSM) jarak sederhana yang dibangunkan syarikat Norway, Kongsberg Defence & Aerospace dengan melibatkan kos RM44 juta.
Pertahanan maritim juga diperkukuh apabila tiga buah kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 dengan kos RM 2 billion bakal diterima TLDM pada tahun 2027.
Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, perkhidmatan ini akan menerima pesawat rondaan maritim (MPA) ATR P-72M buatan Itali dan pesawat LCA FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan.
Perdana Menteri memaklumkan bahawa penghantaran pesawat LCA FA-50M dari Korea Selatan dijadualkan mula dihantar pada Oktober 2026 hingga Ogos 2027.
“Akhirnya rundingan dengan Itali, saya minta supaya dipercepatkan untuk pesawat MPA. Pesawat itu dijangka siap pada Jun 2026.
“Inilah G2G, ia bermakna kedua-dua kerajaan bertanggungjawab dan kos itu jauh lebih rendah. Kementerian Pertahanan, TLDM atau TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) boleh terus hubungi rakan sejawat mereka (untuk perkembangan terkini) tanpa perlu melalui ejen,” katanya. – UTUSAN







