GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyasarkan untuk mencapai tahap penjimatan air domestik kepada 250 liter kapita sehari (LKH) tahun ini berbanding 261 LKH pada tahun lepas.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sasaran yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan itu boleh dicapai jika kesemua penduduk Pulau Pinang mampu menggunakan air secara berhemah.
“Pernah suatu ketika, purata penggunaan air domestik di Pulau Pinang begitu tinggi sehingga mencapai 308 LKH. Namun, dengan pelbagai usaha yang dilakukan sejak beberapa tahun ini, penggunaan tersebut akhirnya dapat dikurangkan kepada 261 LKH sahaja (tahun lepas).
“Jadi, saya percaya sasaran penggunaan sebanyak 250 LKH itu mampu dicapai jika semua pihak mematuhi nasihat serta saranan yang diberikan oleh PBAPP,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi PBAPP berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri di Empangan Air Itam di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pathmanathan pula memberitahu, sasaran sebanyak 250 LKH itu mampu menghasilkan penjimatan sehingga 19.8 juta liter air sehari (JLH) jika kesemua 1.8 juta penduduk Pulau Pinang mematuhi saranan serta nasihat yang diberikan.
Beliau berkata, meskipun purata penggunaan air kebangsaan pada 2023 ialah 237 LKH dan Singapura pula hanya 141 LKH, sasaran sebanyak 250 LKH oleh Pulau Pinang itu masih dilihat sebagai satu langkah kecil demi masa depan bekalan air yang lebih kukuh.
“Penjimatan sebanyak 19.8 JLH itu juga dijangka mengurangkan penggunaan air keseluruhan negeri daripada 870 JLH pada 2024 kepada kira-kira 850 JLH tahun ini, iaitu pengurangan sekitar 2.3 peratus,” katanya.-UTUSAN