PBAKL tumpuan seisi keluarga, sanggup belanja besar demi buku

PBAKL tumpuan seisi keluarga, sanggup belanja besar demi buku

PENGUNJUNG memenuhi reruai untuk mendapatkan buku pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) menjadi tumpuan keluarga dari seluruh negara yang sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan bahan bacaan berkualiti khususnya untuk anak-anak.

Penolong Penyelidik Siswazah Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Hasliza Mohamad Ali, 41, berkata, dia hadir bersama suami dan tiga anak mereka berusia 6, 10 dan 13 tahun untuk mencari pelbagai jenis buku daripada bahan bacaan kanak-kanak sehinggalah buku ilmiah.

“Walaupun datang dengan bajet RM400, saya yakin jumlah itu pasti akan terlebih. Setiap tahun kami memang akan rancang untuk datang ke PBAKL.

“Selain mencari buku aktiviti dan tambahan untuk anak-anak, saya dan suami juga menumpukan pembelian buku berkaitan bidang kami, iaitu pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Hasliza, dia turut membawa sebuah bagasi khas bagi memudahkan urusan membawa pulang buku yang dibeli.

“Saya pasti banyak buku akan dibeli hari ini. Jadi lebih mudah bawa beg roda daripada menjinjing beg plastik berat,” katanya.

Kunjungan tahun ini juga lebih bermakna buat Hasliza kerana dia hadir untuk menyokong pelancaran buku suaminya, Hasri Harun, pensyarah Universiti Selangor (UNISEL) berjudul Dakwah dalam Masyarakat Menuju Malaysia Madani.

“Sebagai pasangan pensyarah, kami amat menitikberatkan pemilihan bahan bacaan yang boleh menyumbang kepada perkembangan ilmu dan kerjaya dalam bidang akademik,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah dari Perak, Nur Hidayah Zahri, 38, turut hadir bersama anaknya dan anak saudara semata-mata untuk memenuhi minat mereka terhadap dunia sastera.

“Saya bawa bagasi dari rumah sebab senang nak isi novel-novel yang dibeli anak saya. Ini pun saya rasa tak cukup sebab dia memang borong banyak buku.

“Bajet beli buku lebih RM400. Kebetulan hari ini cuti sekolah, jadi kami ambil peluang untuk datang,” katanya.

Dia menyifatkan PBAKL sebagai platform terbaik untuk keluarga mendapatkan bahan bacaan bermutu pada harga berpatutan, selain menjadi medan mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui minat yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN