PBAKL: Pelajar, lepasan sekolah seronok jadi ‘duta buku’

PBAKL: Pelajar, lepasan sekolah seronok jadi ‘duta buku’

NUR IBROHIM KHALILUAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 45 pelajar institut pengajian tinggi dan lepasan sekolah menjadi sukarelawan ‘duta buku’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Bukan sekadar membantu pengunjung mencari lokasi reruai dan memberi panduan arah, mereka juga menjadi wajah mesra yang menyambut ribuan pengunjung saban hari sejak pesta itu bermula.

Lepasan matrikulasi, Nur Ibrohim Khaliluah, 20, berkata, dia tidak kisah perlu berdiri lama setiap hari kerana bertekad menyimpan setiap sen daripada elaun diperoleh sebagai persiapan menyambung pengajian.

“Saya sasarkan untuk menabung RM1,000 bagi 10 hari bekerja dan daripada RM120 itu, setiap hari saya akan simpan RM100 dan selebihnya baru saya belanjakan.

“Semua ini demi tabung pendidikan saya memandangkan selepas ini saya akan melanjutkan pengajian sarjana muda,” katanya.

Sementara itu, Nur Qadirah Abdullah, 19 , berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya menjadi sukarelawan dan peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menampung perbelanjaan harian.

Katanya, selain minat terhadap buku, bayaran yang diberikan juga amat bermakna buatnya memandangkan dia belum mempunyai sumber pendapatan tetap.

“Seronok dapat pengalaman baharu dan dalam masa sama dapat elaun untuk perbelanjaan sendiri. Tak sangka rupanya jadi sukarelawan pun boleh bawa pulang sesuatu,” katanya.

Berkongsi semangat sama, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Nur Kaisah Kamilia Fauzy, 22, berkata, ini tahun kedua dia menyertai PBAKL sebagai ‘duta buku’ kerana tidak mahu melepaskan peluang bertemu pencinta buku daripada pelbagai latar belakang.

“Saya memang suka suasana pesta buku, lebih-lebih bila dapat jumpa orang ramai yang datang sebab minat membaca. Rasa seronok sangat dapat bantu dan tengok orang senyum,” katanya.

PBAKL Ke-42 bertemakan Buku: Membaca dan Memimpin berlangsung sehingga 1 Jun itu menyaksikan penganjuran terbesar dalam sejarah dengan 1,172 reruai dan 258 pempamer mengambil bahagian termasuk 28 pempamer antarabangsa dari negara ASEAN, Iran, United Kingdom (UK) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Lebih 1.9 juta pengunjung dijangka menghadiri PBAKL, menjadikan ia antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia, malah turut diiktiraf antara 12 festival sastera terbaik dunia oleh portal pelancongan Zicasso berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS).

Duta Buku terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan bagi yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta pautan pendaftaran menerusi media sosial rasmi PBAKL.

Peranan Duta Buku merangkumi tugas sebagai pembantu jualan, juruwang dan membantu pelanggan mencari buku, serta menyebarkan manfaat bahan bacaan kepada umum.

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN