PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing cuba menyamar sebagai rakyat tempatan malahmendakwa sudah lama menetap di Selangor bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam Op Mega Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, di sini, semalam.
Bagaimanapun, helah lelaki itu terbongkar apabila dia gagal menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku, sebaik diminta berbuat demikian sebagai pengesahan identiti kewarganegaraannya.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, tindakan menyamar sebagai warganegara Malaysia adalah antara pelbagai taktik digunakan warga asing untuk mengelak ditahan dalam operasi besar-besaran yang dijalankan itu.
“Antara helah lain termasuk enggan membuka pintu ketika pemeriksaan dilakukan serta cuba melarikan diri menerusi bahagian bumbung bangunan.
“Ada juga yang bertindak bersembunyi dalam ruang sempit dan tempat tidak dijangka,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi di sini, semalam.
Menurutnya, serbuan bermula kira-kira pukul 9 malam itu melibatkan seramai 390 pegawai dan anggota pelbagai agensi.
“Seramai 1,597 warga asing diperiksa dan hasil risikan yang dijalankan lebih dua minggu lalu membawa kepada penahanan 597 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berumur antara 11 hingga 59 tahun, melibatkan 472 lelaki dan 125 wanita,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tahanan dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta menggunakan kad pengenalan palsu atau tidak diiktiraf.
“Kesemua yang ditahan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut. Operasi berkenaan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan penguatkuasaan berkesan terhadap pelanggaran undang-undang imigresen,” katanya.
Jafri turut memberi amaran kepada pemilik premis dan majikan agar tidak menyewa kediaman atau menggajikan PATI secara haram kerana tindakan tegas menanti mereka yang didapati melanggar undang-undang.-UTUSAN