PETALING JAYA : Satu pasukan petugas khas yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan ditubuhkan bagi menangani isu jemaah haji yang terkandas pada musim haji 2025.
Pasukan berkenaan akan mula beroperasi 30 Mei ini pada pukul 8 pagi dan bertugas secara 24 jam setiap hari.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pusat operasi pasukan itu akan ditempatkan di Bilik Mesyuarat One Stop Center, Aras 2 Blok B Parking Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Penubuhan pasukan itu untuk menyelaras siasatan, pengurusan dokumentasi termasuk tindakan tangkapan terhadap individu atau pemilik syarikat yang disyaki terbabit dalam penipuan tawaran haji.
“Semua tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada mengikut kesalahan dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis, MOTAC dan TH masing-masing mempunyai bidang kuasa dan perundangan tersendiri dalam menangani pelbagai kesalahan berkaitan penipuan haji.
Katanya, penubuhan itu adalah langkah strategik bagi memastikan setiap aduan berkaitan isu terkandas dapat ditangani secara efisien, teratur dan berkesan.
“Sebagai langkah pencegahan, bakal jemaah haji dinasihatkan supaya membuat semakan terperinci terhadap pakej haji yang ditawarkan
“Pastikan syarikat pengendali adalah berdaftar dengan TH sebagai syarikat pengelola jemaah haji yang sah bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” jelasnya. – UTUSAN