PETALING JAYA: Pas kekal tenang meskipun parti itu akan mengadakan pemilihan kepimpinan dalam muktamar yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 September ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, parti itu tetap mengadakan pemilihan pada setiap dua tahun seperti ditetapkan dalam perlembagaan Pas tanpa mengira sama ada berlaku dalam musim pilihan raya atau sebaliknya.
Malah katanya, Pas tidak bimbang dan takut sekiranya berlaku unsur sabotaj sekiranya pemilihan parti berlangsung pada musim pilihan raya.
“Memang senyap pemilihan Pas. Ya memang tradisi dalam Pas macam itulah. Kami tak adalah program gege ka, riuh ka, hingak ka.
“Sebab kami ditarbiyah oleh Pas, menjadi pemimpin ini amanah. Rujukan kami Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Menurut Idris, Perlembagaan Pas telah menetapkan bahawa pemilihan semua peringkat sehingga Pusat perlu berlangsung pada setiap dua tahun sekali.
Katanya, pemilihan cawangan ditetapkan pada 1 Februari dan 16 Mac manakala kawasan pula pada 25 Mei hingga 29 Jun.
“Pemilihan AJK Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat Negeri pada 5 Julai hingga 20 Julai.
“Pencalonan AJK Pas Pusat daripada kawasan-kawasan akan bermula dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan-Kawasan.
“Muktamar Pas Pusat akan berlangsung pada 15 September hingga 16 September 2025 untuk memilih jawatan tertinggi dalam Pas,” katanya.
Justeru itu, katanya, Pas menjalankan pemilihan parti, namun tetapi kekal dalam keadaan tenang.
“Di dalam Pas kalau dok minta atau lobi, tidak sempat habis baca iftitah dia kalah. Kalau ada orang yang macam ini dalam Pas, dia tidak boleh lama. Sama ada dia terkeluar atau dikeluar daripada Pas,” katanya.-UTUSAN