KLANG: Tenaga boleh guna, teknologi makanan dan kecerdasan menjadi tiga perkara utama dibincangkan dalam Mesyuarat Konsultatif Ahli Parlimen Muda ASEAN (YPA) Ke-2, hari ini.
Presiden Perhimpunan Ahli Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Johari Abdul berkata, tiga perkara tersebut dibincangkan sebagai agenda untuk memajukan negara-negara serantau sebelum resolusinya akan disyorkan kepada pemimpin negara masing-masing.
“Ia akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei. Seperti hal berkaitan tenaga boleh guna, bagaimana alam semula jadi boleh dimanfaatkan bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan domestik.
“Teknologi makanan pula memfokuskan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan hasil tani. Sementara AI, bagaimana ia dapat mengubah landskap teknologi negara untuk pergi lebih maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan YPA Ke-2, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 47 delegasi daripada sembilan negara ASEAN yang terlibat dalam YPA kali ini, kecuali Singapura dan Filipina yang baru selesai atau sedang menghadapi pilihan raya.
“Ahli Parlimen muda merupakan pelapis kepada negara masing-masing yang mana, ada di antara mereka mungkin menjadi Perdana Menteri atau Presiden pada masa akan datang.
“Jadi melalui YPA, ia sedikit sebanyak dapat mengasah bakat mereka untuk menjadi pemimpin negara mulai sekarang,” ujarnya. – UTUSAN