KUALA LUMPUR: Seminggu selepas memohon maaf kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, blogger Papagomo didakwa telah melanggar syarat permohonan maaf tersebut yang dikenakan Mahkamah Tinggi di sini.
Syarat tersebut ialah permohonan maaf yang dibacakan di Mahkamah pada 30 April lalu disiarkan dalam platform YouTube, Tiktok, X Telegram milik Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris selama tujuh hari bermula tarikh tersebut dan perlu memadamkan kenyataan dan gambar Razarudin yang telah diubah suai.
Rentetan daripada pelanggaran tersebut, Razarudin sekali lagi memfailkan permohonan komital terhadap blogger terbabit pada 5 Mei lalu. Pendengaran bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital akan dibuat Jumaat ini.
“Pada 1 Mei 2025, lebih kurang pukul 8.30 malam, defendan (Papagomo) telah dengan sengaja menerbit atau menyebabkan penerbitan satu video dalam talian menerusi platform sosial media di aplikasi Tiktok (Papa Azri) dan Youtube (Sir Azri).
“Kenyataan-kenyataan defendan bertentangan dengan kenyataan bertulis permohonan maaf defendan yang telah dipersetujui dan dibaca di hadapan Mahkamah pada 30 April 2025 seperti dalam Perintah Komital tersebut.
“Permohonan maaf yang dibuat oleh defendan pada 30 April 2025 adalah tidak ikhlas dan tanpa penyesalan meskipun permohonan maaf tersebut dibuat tanpa syarat,” kata Razarudin dalam notis permohonan komital kali kedua.
Pada 30 April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong memerintahkan Papagomo menyiarkan permohonan maaf dan memadamkan kenyataan serta gambar Razarudin yang telah diubah suai selepas merekodkan permohonan maaf Papagomo kerana melanggar perintah injunksi yang dikenakan terhadapnya.
Pada tarikh tersebut, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan komital oleh pegawai polis itu bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap Papagomo yang dikatakan menghina mahkamah dengan melanggar perintah dikeluarkan.
Perintah injunksi diperoleh Razarudin pada 31 Disember 2024 antara lain melarang dan menghalang blogger itu daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan.
Perintah injunksi itu antara relif yang dimohon dalam saman fitnah difailkan Razarudin pada 26 Disember 2024, selain tuntutan ganti rugi sebanyak RM3 juta.
Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan, video, status serta komen itu berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara.
Papagomo juga diperintah menarik balik, menurun dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember 2024 yang mengandungi kenyataan fitnah tersebut.
Pada 19 Disember 2024, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan KPN serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 24 Disember 2024, media melaporkan kertas siasatan membabitkan Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap Ketua Polis Negara dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. – UTUSAN