PONTIAN: Seorang isteri tidak menyangka panggilan telefon yang diterimanya awal pagi tadi membawa khabar sedih mengenai kehilangan suaminya yang memancing di Mersing.
Norazlila Othman, 46, berkata, dia menerima panggilan daripada seorang anggota polis pada pukul 2 pagi memaklumkan suaminya, Mohd. Al Hafiz Md. Yunus, 45, terjatuh ke laut dan hilang ketika menaiki bot berhampiran Jeti Kampung Semaloi, Endau.
“Sebelum itu arwah ada menghantar mesej WhatsApp pada pukul 10 malam memberitahu tentang keadaannya dan pukul 12 tengah malam ketika sampai ke lokasi memancing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jasa Indah, di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan seorang imam ditemukan mati lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing berhampiran Jeti Kampung Semaloi, Mersing awal pagi tadi.
Mohd. Al Hafiz disahkan meninggal dunia dan mayatnya ditemukan pada pukul12 tengah hari tadi kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Norazila berkata, Allahyarham suaminya memang kerap ke Mersing untuk memancing dan telah ke daerah itu petang semalam bersama seorang rakan.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Pontian sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Bengkok hari ini. – UTUSAN