KOTA BHARU: Seorang pemilik restoran didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan logo halal tanpa sijil perakuan sah di premisnya, November lalu.
Hakim Zulkifli Abllah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya Lim Beng Kee, 48, selaku orang kena saman (OKS) gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki apa-apa kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa di restoran miliknya di Jalan Temenggong, di sini kira-kira pukul 12.46 tengah hari pada 18 November lalu.
Beng Kee dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan kerana ibu bapanya sedang uzur selain perlu membayar gaji pekerja yang bekerja premisnya.
“Saya telah memperbaharui permohonan sijil halal dan memohon maaf atas kejadian itu. Saya memberi jaminan tidak akan mengulangi kesalahan tersebut lagi selepas ini,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM20,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Selain itu, wang jaminan sebanyak RM8,000 turut dikembalikan kepada OKS dan Beng Kee membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN