Pamela Ling, suami mula disiasat sejak Mei 2024

Pamela Ling, suami mula disiasat sejak Mei 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang pada 9 April lalu mula disiasat Suruhanjaya itu sejak Mei 2024.

SPRM dalam kenyataan berkata, siasatan dilakukan adalah berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Selain Pamela Ling, turut disiasat iaitu suaminya Datuk Seri Hah Tiing Siu.

Kenyataan itu berkata, kertas siasatan membabitkan pasangan itu telah dibuka pada 28 Mei 2024 dan suami kepada telah dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes itu kepada SPRM.  

“Bagi melengkapkan siasatan, SPRM juga telah mengesan dan memanggil Pamela Ling untuk hadir ke ibu pejabat SPRM memberikan keterangan, namun beliau telah ingkar dan gagal memberikan kerjasama.  

“Sehubungan itu, waran tangkap terhadap Pamela Ling telah di perolehi daripada Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan pada 2 Disember 2024,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, lanjutan daripada itu, satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura telah dilancarkan dan Pamela Ling telah ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia pada 8 Januari lalu.

Kenyataan itu memaklumkan, Pamela Ling telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman sebelum dia direman selama tiga hari iaitu dari 9 Januari sehingga 11 Januari lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan sebaik tempoh reman tamat.

Rentetan itu, kenyataan itu memberitahu, SPRM telah meminta Pamela Ling hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi meneruskan rakaman percakapan lanjutan maklumat-maklumat baharu yang diperoleh SPRM pada 9 April lalu.

“Berdasarkan maklumat ini, SPRM juga telah mendapat izin dan perintah daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dokumen perjalanan Pamela Ling melalui serahan Notis Penyerahan Dokumen Perjalanan Seksyen di bawah Seksyen 44 (1) Akta SPRM 2009.

“Walau bagaimanapun, Pamela Ling gagal hadir pada hari tersebut dan peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari yang sama,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu menegaskan, pada setiap peringkat, SPRM telah bertindak mengikut kerangka undang-undang termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan. 

Justeru itu, dakwaan gangguan atau salah laku adalah tidak berasas.

“Dalam pada itu, semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela Ling sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki.  

“Cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, sejak laporan kehilangan Pamela Ling, SPRM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan tersebut.

“Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

“Pada peringkat ini, keutamaan kita bersama adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Pamela Ling dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN