KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima empat unit pam air berkapasiti tinggi sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi musim jerebu dan kebakaran terbuka.
Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, pam air yang diterima pada hujung tahun lalu itu membantu memperkukuh keupayaan operasi pemadaman di kawasan yang dikenal pasti sering terlibat dalam kebakaran terbuka setiap tahun.
Katanya, pam tersebut direka khusus untuk operasi kebakaran hutan dan tanah gambut yang memerlukan bekalan air dalam kuantiti besar dan tekanan tinggi.
“Empat unit pam air berkapasiti tinggi ini diterima pada Disember tahun lalu dan ditempatkan di empat balai utama yang mencatatkan jumlah panggilan kebakaran terbuka tertinggi, iaitu di Bachok, Tunjong, Pasir Puteh serta Tanah Merah.
“Penempatan pam air ini juga sebahagian daripada persiapan rapi JBPM Kelantan menjelang musim panas dan jerebu yang dijangka bermula antara Julai hingga September meskipun tumpuan ramalan jerebu adalah tertumpu di kawasan Pantai Barat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjong, di sini hari ini.
Sementara itu, Farhan Sufyan berkata, elektrik dikenal pasti sebagai sumber nyalaan tertinggi di negeri ini apabila merekodkan sebanyak 634 kes daripada 821 kes kebakaran yang disiasat sepanjang tahun lalu. – UTUSAN