Seramai tujuh orang murid Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) teruja apabila guru masing-masing memperagakan pakaian siri filem Pirates of the Caribbean sempena Hari Guru 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut baru-baru ini.
Guru Kelas PPKI, Norhafizah Ismail berkata, pakaian tersebut diperagakan semata-mata untuk memeriahkan sambutan Hari Guru tahun ini peringkat sekolah itu bersama guru yang mengajar di kelas lain dengan mengenakan busana bertemakan pilihan masing-masing.
“Saya bersama rakan guru, Nurulhaeza Jamaludin dan seorang pembantu pengurusan murid berbelanja sendiri menyediakan pakaian ini termasuk mengupah tukang jahit bagi merealisasikan watak dalam siri filem Pirates of the Caribbean.
“Walaupun menggambarkan watak filem terkenal ini, tetapi kami klasifikasikan pakaian ini bertemakan ‘kembar’ kerana warna (pakaian), bentuk dan pemakaian topi yang sama,” katanya di SK Felda Kota Gelanggi Dua Jerantut.
Menurut Norhafizah, dia bersama rakannya bertuah kerana dipilih antara pemenang pertama memperagakan pakaian itu dengan masing-masing memperoleh hadiah wang tunai RM25 yang disediakan oleh Jawatan Kuasa Sambutan Hari Guru peringkat sekolah.
Rakannya yang juga guru PPKI, Nurulhaeza berkata, mereka bertiga bersepakat mengenakan pakaian watak siri filem Pirates of the Caribbean bertemakan kembar hanya untuk mewarnai kemeriahan sambutan Hari Guru tahun ini.
“Hal ini kerana sambutan sebelum ini, ramai guru mengenakan busana tradisional, pakaian melambangkan bidang pekerjaan, uniform sekolah dan sebagainya, tetapi tahun ini kita membuat kelainan dengan memakai pakaian watak siri filem pula,” katanya.
Nurulhaeza berkata, pakaian itu menarik minat dan rasa teruja bukan sahaja murid kelas PPKI malahan kalangan rakan mereka daripada kelas lain turut memberikan tepukan gemuruh apabila guru
PPKI dan pembantu pengurusan murid tampil ke dewan untuk memeriahkan sambutan Hari Guru tahun ini.
Murid PPKI, Umie Amira Liyana Mohd Abu Hanifah, 11, berkata, dia sangat kagum dengan usaha guru mengenakan pelbagai tema pakaian untuk memeriahkan sambutan tersebut.
“Inilah pertama kali saya melihat guru saya (PPKI) memakai pakaian yang agak berlainan berbanding sambutan tahun lalu dan menarik perhatian kami di kelas ini,” katanya. –UTUSAN