Pahanvg sedia laksana pelan pembangunan tujuh stesen ECRL 

Pahang sedia laksana pelan pembangunan tujuh stesen ECRL 

WAN ROSDY Wan Ismail ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang bersedia melaksanakan pelan pembangunan strategik dan berimpak tinggi di tujuh stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui pendekatan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan TOD yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, semalam.

“Perancangan ini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam radius 15 kilometer dari setiap stesen ECRL. Ia dijangka memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat secara mampan,” katanya di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata, pelaksanaan Projek Pemecut Ekonomi (EAP) digerakkan seiring dengan pembangunan TOD bagi mewujudkan pusat pertumbuhan baharu yang inklusif, berdaya saing dan lestari di sekitar stesen ECRL.

“Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM).

“Setiap PBT sudah diberikan tanggungjawab merangka pelan tindakan pembangunan EAP dan TOD masing-masing dengan menekankan manfaat terus kepada komuniti tempatan.

“Komponen pembangunan yang dikenal pasti meliputi pembinaan Pangsapuri PahangKu, Inland Port, pusat pentadbiran dan pusat komersial, hotel dan kompleks perniagaan, pembangunan bercampur, institusi pendidikan, kemudahan masyarakat serta infrastruktur perumahan dan utiliti,” ujarnya.

Menurut beliau, antara cadangan projek spesifik yang diketengahkan ialah Tasik Paya Bungor Eco Park dan penjenamaan semula Gambang Water Park; pembinaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Paya Besar; pembangunan Maritim Hab di Tanjung Gelang; serta cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan pembangunan Bandar Aeroangkasa.

Selain itu katanya, pembangunan Smart City di Daerah Temerloh; Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) dan Loji Janakuasa Biogas di Maran; cadangan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC); pembangunan kawasan eko pelancongan di Hutan Simpan Paya Pasir; Terminal Bersepadu Bentong serta Gerai Berangkai Bentong turut dimasukkan dalam perancangan.

Beliau berkata, inisiatif itu akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan, memperkukuh jaringan mobiliti serta meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.

“Inisiatif menyeluruh ini adalah langkah proaktif dan bersifat masa hadapan untuk menyokong pembangunan Negeri Pahang secara holistik, seimbang dan mampan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN