Operator kilang maut rempuh kereta guru

Operator kilang maut rempuh kereta guru

KEADAAN motosikal Muhammad Shafie Sha’ari (gambar kecil) selepas merempuh bahagian hadapan MPV di simpang Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu guru wanita di Jalan Tanjung Minyak berhampiran Taman Arked Seri Rambai di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Muhammad Shafie Sha’ari, 20, meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah pada anggota badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV dipandu guru berusia 50 tahun itu keluar dari simpang untuk membelok ke Jalan Bukit Pala.

“Guru terbabit dilaporkan telah memeriksa keadaan lalu lintas sebelum keluar dari simpang, namun dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa yang datang dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Cheng ke Tanjung Kling.

“Motosikal Honda RS-X ditunggang mangsa kemudian merempuh bahagian hadapan kiri kenderaan itu menyebabkan dia tercampak dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemandu wanita terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Solok Lereh, Tanjung Kling selepas tamat syif bekerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN