PETALING JAYA: Tiga remaja mendakwa dicabul seorang lelaki sejak tahun lalu selepas mereka berkenalaan dalam tempoh singkat melalui permainan pertempuran dalam talian.
Perbuatan jijik lelaki yang bekerja sebagai operator kilang berusia 32 tahun itu terbongkar selepas kesemua mangsa iaitu remaja berusia antara 13 hingga 16 tahun membuat laporan polis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kejadian berlaku di tiga lokasi berasingan di sekitar Johor Bahru.
“Mangsa mendakwa berkenalan dengan suspek selepas melepak bermain permainan dalam talian di sebuah kedai makan pada awal Januari tahun lalu.
“Hasil perkenalan itu, suspek dikatakan mengajak seorang mangsa ke rumahnya sebelum mencabul mangsa pada awal tahun lalu,” katanya ketika dihubungi
Kata Siti Kamsiah, suspek kemudian dikatakan menggunakan taktik sama kepada dua lagi mangsa dengan mengajak mereka ke rumahnya dan mencabul mereka.
“Kedua-dua kejadian berlaku berasingan dan siasatan mendapati ketiga-tiga kejadian itu berlaku pada Mac tahun lalu dan Januari tahun ini,” jelasnya.
Bertindak atas laporan, katanya, sepasukan polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Johor Bahru, baru-baru ini.
Katanya, suspek kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN