NIOSH sertai persidangan keselamatan, kesihatan pekerjaan di Riyadh

NIOSH sertai persidangan keselamatan, kesihatan pekerjaan di Riyadh

niosh
Ayop Salleh ketika menjadi panelis forum sempena Persidangan Global Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-7 atau Global Occupational Safety and Health Conference (GOSH7th) yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Malaysia telah menyertai Persidangan Global Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-7 atau Global Occupational Safety and Health Conference (GOSH7th) yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi dari 4 hingga 6 Mei 2025.

Persiadangan berprestij ini dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) Arab Saudi dan menghimpunkan pemimpin, pengamal serta pihak berkepentingan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dari seluruh dunia.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh, yang mewakili komitmen negara dalam memperkukuh amalan KKP melalui kerjasama antarabangsa, perkongsian ilmu serta pembangunan mampan.

Antara pencapaian utama semasa kongres ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIOSH dan NCOSH Arab Saudi, yang memberi tumpuan kepada peranan NIOSH Malaysia dalam membantu NCOSH Arab Saudi membangunkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Safety and Health Institute – NOSHI) yang baru ditubuhkan oleh kerajaan Arab Saudi di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial.

MoU ini membuka ruang kerjasama strategik dalam pembinaan keupayaan institusi, pertukaran kepakaran, pembangunan latihan, perkhidmatan perundingan serta inisiatif penyelidikan bersama.

Ayop juga telah dijemput sebagai panelis bagi dua sesi utama dalam kongres tersebut, iaitu:

“Peranan Latihan, Kesedaran dan Penyelidikan dalam Membentuk Budaya KKP yang Berkesan di Masa Hadapan”, dan “Masa Depan Penyelidikan Kolaboratif dalam KKP: Pengalaman dan Pendekatan bagi Membangunkan Kerjasama Penyelidikan antara Ahli Akademik dan Pengamal”.

Penglibatan beliau dalam sesi ini mencerminkan peranan Malaysia yang semakin diiktiraf dalam landskap KKP antarabangsa, khususnya dalam usaha menyelaras dasar KKP dengan keperluan industri, pembangunan tenaga kerja mampan dan piawaian global.

NIOSH Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NCOSH Arab Saudi atas sambutan mesra dan penganjuran kongres yang cemerlang. Pengalaman ini telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta memperlihatkan komitmen bersama ke arah mewujudkan persekitaran pekerjaan yang lebih selamat, sihat dan produktif.

NIOSH Malaysia komited untuk menyokong penubuhan dan pembangunan NOSHI serta berharap agar kerjasama dengan Arab Saudi dapat diteruskan secara bermakna dan berimpak tinggi pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN