PETALING JAYA: Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan antara tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun sehingga 25 April 2028.
Selain Nik Mohamad Abduh, dua individu lain adalah Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan tersebut diyakini dapat memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan integriti dalam pentadbiran negara.
Menurut Anwar, pelantikan itu juga disifatkan selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai-nilai murni dalam tadbir urus negara.
“Kerajaan terus komited memperkukuh institusi-institusi utama negara bagi memastikan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan sentiasa terpelihara.
“Pelantikan tiga ahli baharu JKMR ini diharap mempertingkat keberkesanan fungsi jawatankuasa berkenaan,” katanya dalam kenyataan selepas majlis penyerahan watikah yang turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Bangunan Parlimen hari ini.
JKMR merupakan antara lima badan bebas di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai isu berkaitan rasuah serta meneliti Laporan Tahunan dan Laporan Jawatankuasa Aduan SPRM.
Jawatankuasa ini diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat mewakili parti pemerintah dan pembangkang
JKMR juga terdiri daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman. – UTUSAN