PETALING JAYA: “Saya refleks balik diri saya, apa yang tidak dipakai dekat rumah dan simpan saya nak jual.”
Demikian kata pelakon, Nora Danish selepas mengambil keputusan untuk menjual semua kasut tumit tingginya yang berjenama kerana sedar akan akibat menyimpan barang yang tidak digunakan.
Menurut Nora, keputusan itu dibuat selepas terdetik untuk membaca catatan yang dibuat sewaktu menghadiri kelas agama sebelum ini.
Nora juga turut menerangkan tentang pengisian surah Al-Humazah yang menceritakan tentang neraka al-Hutamah yang merupakan tempat untuk mereka yang suka mengumpat dan mengumpul harta benda.
“Pagi tadi (semalam) saya ulang kaji apa yang belajar dekat kelas, terbuka surah Al-Humazah tentang golongan pengumpat dan pengkeji yang akan dimasukkan dalam neraka khas iaitu al-Hutamah.
“Neraka ketiga ke bawah. Bawah sekali neraka Jahanam, Jahim dan al-Hutamah.
“Neraka ini dibuat untuk golongan pengumpat dan pengkeji termasuk golongan yang menghitung harta iaitu meletakkan harta lebih dari Allah,” katanya.
Menyedari perkara itu, pelakon drama bersiri Puteri itu turut menyatakan hasratnya untuk menggunakan hasil jualan barangan yang disimpan itu ke jalan yang lebih bermanfaat.
“Duit tersebut akan digunakan untuk beli benda baharu yang kita perlukan atau bersedekah.
“Mana-mana yang bersesuaian dengan anda. Semoga bermanfaat,” jelasnya.-UTUSAN