SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan mengambil tindakan lebih tegas ke atas pemandu kenderaan berat bagi mengelak insiden kemalangan berulang.
Baginda bertitah, pemandu yang didapati bersalah dan menjadi punca kemalangan hingga menyebabkan kematian atau kecederaan perlu didenda serta dipenjara malah lesen mereka wajar ditarik.
Menurut Sultan Sharafuddin, pemilik syarikat turut dikenakan tindakan sebagai pengajaran selain memastikan pemandu lebih berhati-hati dan memberi tumpuan ketika bekerja.
“Kerajaan diminta mengambil serius dengan kemalangan terutama melibatkan kenderaan berat. Hukuman terhadap pemandu dan syarikat yang cuai dan tidak menepati syarat keselamatan.
“Melihat kepada jumlah kes dan tragedi yang kian meningkat serta kadar kemalangan semakin kerap berlaku, tindakan segera yang lebih tegas perlu diambil,” titah baginda yang dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor, hari ini.
Baginda menerusi perutusan takziah ke atas waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban di Perak kelmarin menggesa pengendali kenderaan berat termasuk bas membuat penilaian ketat ketika memilih pemandu dan kelindan.
“Semua pihak terlibat tidak boleh menutup sebelah mata dan memandang ringan terhadap perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu.
“Tragedi sebegini yang melibatkan kehilangan nyawa insan tidak berdosa terutama yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara tidak boleh lagi berulang,” titah baginda.
Kelmarin, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh terbunuh dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam.
Mereka yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, 44: Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit a/l Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak. – UTUSAN