Nahas FRU: Pemandu lori miliki enam rekod lampau - Utusan Malaysia

Nahas FRU: Pemandu lori miliki enam rekod lampau

NOOR Hisam Nordin ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pemandu lori muatan batu yang terbabit kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, di sini hari ini memiliki enam rekod kesalahan lampau.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, hasil semakan mendapati kebanyakan kesalahan yang direkodkan adalah bersabit kes narkotik.

Malah katanya, suspek berusia 45 tahun itu juga memiliki rekod kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan hasil ujian itu didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Pemandu lori telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang akhbar di Unit Forensik Hospital Teluk Intan, di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika tujuh konvoi kenderaan FRU dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak

Bagaimanapun katanya, kenderaan membawa 18 anggota yang berada pada kedudukan kelima konvoi itu telah dirempuh lori membawa muatan batu.

“Tujuh kenderaan terlibat dalam konvoi itu termasuk dua buah pacuan empat roda, empat buah lori dan sebuah bas di mana kenderaan membawa mangsa yang kelima dalam barisan.

“Penugasan anggota ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) FRU di mana jika berlangsung selama tiga hari, satu hari untuk perjalanan ke lokasi, satu hari untuk bertugas, dan satu hari untuk pulang. Itu adalah protokol standard FRU,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisam memaklumkan, sembilan anggota yang dilaporkan cedera masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan.

“Maklumat yang diperolehi setakat ini, dua daripada mereka berada di zon merah (zon kritikal) manakala tujuh lagi di zon kuning,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas sembilan anggota yang terkorban dilakukan bermula pukul 2.30 petang dan dijangka selesai pada 8 malam.

Katanya, sebaik proses bedah siasat selesai, jenazah akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk solat jenazah sebelum ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi penghormatan terakhir.

“Sebaik selesai acara penghormatan terakhir, semua jenazah akan dibawa ke kampung halaman masing-masing,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN