PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas Siasatan Insiden Kemalangan Maut telah memulakan siasatan minggu lalu berhubung insiden kemalangan tragik yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) 13 Mei lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas ini diberi tempoh 30 hari bermula 15 Mei lalu untuk mengemukakan laporan siasatan awal kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).
Tegas beliau, fokus utama siasatan ini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mengenal pasti kelemahan sistem sedia ada.
“Ini termasuk mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan secara sistematik dan berkesan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya khususnya melibatkan kenderaan berat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata, pasukan ini dianggotai pelbagai pakar serta wakil agensi utama berkaitan diketuai Pengerusinya, Ketua Inspektor Kemalangan Udara MOT, Brig. Jen. Tan Chee Kee Tentera Udara Malaysia (TUDM).
Turut menganggotai ialah dua orang Ahli Parlimen, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Khairil Nizam Khirudin selain Profesor Dr. Kulanthayan K.C. Mani @ Subramaniam dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pakar jurutera bebas, Datuk Foong Choy Chye.
Wakil-wakil daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), nstitut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bersama dalam pasukan itu.
“Pasukan Petugas ini menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian, termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan sistemik dari aspek keselamatan jalan raya.
“Selain itu, menganalisis keberkesanan penguatkuasaan sedia ada serta peraturan dalam industri pengangkutan; menilai semula garis panduan, infrastruktur, dan penggunaan teknologi keselamatan bagi mencegah kejadian serupa berulang pada masa akan datang,” katanya.
Katanya, kementerian akan memastikan bahawa setiap syor dan dapatan yang dikemukakan akan diteliti secara menyeluruh untuk tindakan susulan di peringkat dasar dan operasi. – UTUSAN