Nahas FRU: Konstabel Akmal Wafi selamat dikebumikan

Konstabel Akmal Wafi selamat dikebumikan di Sungai Limau, Lunas

ROZAIDAH Ahmad menyiram air mawar di pusara anaknya Akmal Wafi Annuar yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Kampung Sungai Limau, Lunas di Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Jasad anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Konstabel Akmal Wafi Annuar, 27, yang maut kemalangan di Teluk Intan, Perak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Kampung Sungai Limau, Lunas hari ini.

Perjalanan terakhir anggota Unit 5 FRU itu dilakukan dengan penuh penghormatan sambil  disaksikan kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan serta penduduk setempat.

Turut mengiringi jenazah ialah ibu bapa arwah, Rozaidah Ahmad, 54, dan Annuar Yusof, 55 selain adik beradik arwah serta Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan yang turut menyampaikan bendera Malaysia kepada bapa arwah.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di masjid berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari tanah perkuburan tersebut.

Terdahulu, jenazah dibawa ke rumah keluarganya di Taman Pegaga, Lunas sebaik tiba dari Markas FRU Unit 5 Sungai Senam di Ipoh.

Sementara itu, Annuar ketika ditemui menyatakan perasaaan syukur apabila urusan pengebumian anak sulungnya berjalan lancar selain reda dengan kejadian menimpa Akmal Wafi.

Dalam kejadian itu, Akmal Wafi bersama tujuh rakan sekerjanya meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi anggota FRU menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Teluk Intan.

Kemalangan itu membabitkan trak pasukan FRU yang dalam perjalanan pulang setelah selesai tugas sebelum bertembung dengan lori muatan batu dari arah bertentangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN