KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan berhubung cadangan menyerap kira-kira 18,000 pegawai pemantau harga di bawah program pekerjaan sementara (MySTEP) ke jawatan tetap atau kontrak perkhidmatan.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, walaupun telah dibangkitkan pada 15 April lalu, tiada sebarang maklum balas diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung perkara itu.
“Setakat ini, kami dimaklumkan mereka (pegawai pemantau harga) tidak gembira. Kita bukan nak tahu mereka gembira atau tidak. Yang kita mahu adalah, buatlah kerja. Ambil maklum, bukan setakat ambil maklum tetapi ambillah tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025 di sebuah hotel, di sini hari ini.
Adnan berkata, pihaknya turut menuntut kerajaan mengurus sebaik mungkin situasi selepas keputusan menurunkan taraf pegawai pemantau harga kepada MySTEP.
Katanya, pegawai pemantau harga telah wujud dalam KPDN sejak 18 tahun lalu dengan status kontrak untuk perkhidmatan walaupun masing-masing mempunyai kelayakan peringkat ijazah sarjana muda.
“Situasi ini menyebabkan mereka sekadar menerima gaji sebanyak RM2,500 tanpa sebarang imbuhan lain. Maknanya mereka ini terkontang-kanting tanpa ada kebajikan termasuk skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kemudahan Skim Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tiba-tiba mahu diturunkan taraf kepada kontrak MySTEP.
“Janganlah ‘turunkan taraf’ dan beri kegusaran kepada mereka (pegawai pemantau harga) dengan lantikan kepada MySTEP yang akhirnya menyebabkan mereka hilang keyakinan, semangat dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN