KUALA LUMPUR: Mutiara Perlis Sdn. Bhd. memperkukuh usaha menjadikan Perlis sebagai hab logistik utama negara dengan melabur sebanyak RM17 juta bagi memperoleh 15 unit peralatan pengendalian kontena Kalmar bagi operasi di Perlis Inland Port (PIP).
Pelaburan itu merangkumi enam jentera penyusun, tiga pengendali kontena kosong serta enam traktor terminal yang direka khas untuk menyokong pergerakan kargo multimodal. Pemerolehan peralatan tersebut akan dilaksanakan melalui rakan strategik Mutiara Perlis, Mach 1 Group.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Perlis, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, pelaburan itu merupakan langkah penting ke arah memperkukuh infrastruktur logistik darat negara serta menyokong aspirasi jangka panjang PIP.
“Dengan peralatan baharu ini, Mutiara Perlis berada pada kedudukan terbaik untuk menggandakan kapasiti pengendalian kargo dan mencapai sasaran kapasiti satu juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun menjelang 2030,” katanya dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Hotel Majestic, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, pelaburan tersebut bukan sekadar dalam bentuk peralatan semata-mata, tetapi satu komitmen jangka panjang ke arah menjadikan PIP sebagai peneraju perkhidmatan pelabuhan darat di Malaysia.
“Ia juga menandakan permulaan kerjasama jangka panjang bagi mentransformasikan PIP menjadi hab logistik masa depan, bukan hanya untuk Malaysia, malah bagi rantau Asia Tenggara,” katanya.
PIP yang terletak strategik di dalam kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand dilihat berpotensi tinggi sebagai pemacu kepada rangkaian logistik serantau. Inisiatif ini juga dijangka memperkukuh lagi kedudukan Perlis dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai pemain utama sektor logistik dan pengangkutan darat.
Pelaburan ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha memacu transformasi ekonomi negeri Perlis dan menyokong agenda pembangunan negara menerusi peningkatan keupayaan logistik.-UTUSAN