Muhyiddin mohon pindah tujuh kes ke Mahkamah Tinggi 

Muhyiddin mohon pindah tujuh kes ke Mahkamah Tinggi 

MUHYIDDIN Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengemukakan permohonan untuk memindahkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan sebanyak RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) dihadapinya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam, Tang Jia Wearn yang mewakili Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan perkara itu sewaktu sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Katanya, tarikh pendengaran permohonan berkenaan telah ditetapkan pada 16 Jun ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin. 

“Oleh itu, mohon mahkamah ini menetapkan tarikh pengurusan kes berhubung status permohonan berkenaan,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan baki senarai nama saksi bagi kes AMLA kepada pembelaan pada hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai depan untuk pengurusan kes bagi mengetahui status perkembangan permohonan berkenaan serta kehadiran Muhyiddin dikecualikan semasa pengurusan kes berkenaan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 4 April lepas, Muhyiddin berkata terdapat isu-isu perundangan yang rumit dan kesulitan luar biasa yang dijangka akan timbul, khususnya berkaitan dengan isu Pelembagaan beberapa peruntukkan di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kes ini merupakan kes berkepentingan awam yang menarik perhatian masyarakat umum serta mendapat liputan media yang meluas dari dalam dan luar negara.

Oleh itu, beliau memohon perbicaraan berkenaan dijalankan di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman dan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkepentingan awam.

Beliau percaya pemindahan tujuh kes ke Mahkamah Tinggi tidak akan menimbulkan kesulitan atau kemudaratan dan pemindahan kes akan memudahkan semua pihak yang terlibat dan tidak akan memprejudiskan kepada mana-mana pihak.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu. 

Pada 15 Ogos 2023, Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk membatalkan kes itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa, keempat-empat pertuduhan tersebut kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengarahkan empat kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S. M. Komathy Suppiah kemudiannya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN