SEREMBAN: Seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi yang maut selepas dilanggar van di Senawang dekat sini tengah malam tadi baru sahaja membantu bapa saudaranya berniaga sebelum terlibat dengan kemalangan tersebut.
Bapa tiri mangsa, Rosli Yusof, 52, memberitahu, anaknya itu, Muhamad Anas Iskandar Khairi, 20, memang seorang yang ringan tulang terutama untuk membantu keluarganya.
“Sebelum kejadian berlaku, arwah baru selesai membantu bapa saudaranya berniaga roti john di Taman Panchor Jaya dan dia memang dalam perjalanan pulang ke rumah,
“Arwah merupakan anak ke dua daripada empat beradik dan juga merupakan pelajar UKM, dia memang seorang yang ringan tulang, tidak lokek dengan keluarga terutama adik-beradiknya yang lain, memang kejadian ini memberi kesan besar kepada kami,” katanya.
Media hari ini melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah van yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height, Senawang, di sini tengah malam tadi.
Ia merupakan lokasi sama meragut nyawa tiga remaja iaitu penunggang dan pembonceng motosikal yang dirempuh kereta juga akibat tidak berhenti di lampu isyarat merah dalam kejadian pada 6 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam tadi itu, mangsa berusia 20 tahun cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, Rosli yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam.
“Ketika itu saya berada di rumah di Taman Widuri, Senawang, sebaik menerima panggilan, saya terus ke lokasi kejadian tersebut. Apabila saya sampai, Muhamad Anas sudah tidak lagi bernyawa, “katanya.
Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Genting, Kampung Baru Pantai, di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin menggesa pihak terlibat melakukan siasatan dan pemeriksaan terperinci berhubung kemalangan tersebut.
“Lokasi ini merupakan lokasi sama kemalangan maut yang meragut nyawa tiga sekawan selepas dirempuh kereta juga dipercayai melanggar lampu isyarat merah 6 Mac lalu. Jadi pihak berkaitan perlu buat sesuatu bagi mengelakkan kemalangan maut berulang kembali,” katanya. – UTUSAN