MRSM Kepala Batas kini rasmi dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi

MRSM Kepala Batas kini rasmi dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi

AHMAD Zahid Hamidi (tujuh dari kiri) ketika Majlis Pemasyhuran nama MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas hari ini secara rasminya dinamakan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghargaan terhadap jasa Perdana Menteri Kelima itu.

Majlis pemasyhuran itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini dengan dengan dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad; anakanda kepada Allayarham Tun Abdullah iaitu Tan Sri Kamaluddin Abdullah serta beberapa kenamaan lain.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam ucapannya berkata, terlalu banyak jasa Pak Lah kepada negara khususnya dalam membangunkan MRSM termasuk di Kepala Batas ini.

“Jadi, menamakan semula MRSM ini atas nama beliau (Tun Abdullah) hanyalah ‘sekelumit’ jasa yang mampu dibalas,” kata beliau.

Usul mengenai pertukaran nama MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi itu sebelum ini telah diutarakan oleh Asyraf Wajdi sendiri, bulan lepas.

Terletak di Seberang Perai Utara (SPU), MRSM berkenaan mula beroperasi pada 1 Mac 2007 dengan pengambilan pertama kumpulan pelajar seramai 359 orang pada 16 April tahun yang sama.

Kewujudan MRSM itu menjadi titik tolak baharu untuk meluaskan akses pendidikan bumiputera di utara Semenanjung.

Dalam pada itu, Kamaluddin berkata, mereka sekeluarga berterima kasih di atas penghormatan dan penghargaan yang diberikan terhadap arwah bapanya dengan menamakan MRSM itu kepada nama MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kepala Batas adalah kampung halaman beliau dan beliau dibesarkan, diasuh, dididik dan di sini arwah ayah, ibu dan nenda beliau disemadikan. Jadi, saya sangat menghargai penghormatan yang diberikan kepada arwah bapa saya ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN