MPT pandang serius wanita parah ditimpa pokok tumbang - Utusan Malaysia

MPT pandang serius wanita parah ditimpa pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memandang serius kejadian seorang pegawai wanita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak cedera dalam kejadian pokok tumbang ketika beriadah di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), di sini kelmarin.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya sudah mengambil langkah kawalan serta pencegahan bagi menjamin keselamatan pengunjung ke zoo terbabit.

Menurutnya, kawasan kejadian kini dikawal serta ditandakan sebagai zon larangan sementara bagi tujuan siasatan dan keselamatan.

“Pemeriksaan menyeluruh sedang dijalankan ke atas semua pokok dalam kawasan ZTNS, khususnya di laluan utama dan lokasi tumpuan pelawat bagi mengenal pasti pokok yang berisiko tumbang atau tidak stabil.

“Sebagai langkah segera, mana-mana pokok yang dikenal pasti berisiko akan dipangkas atau ditebang serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, MPT juga mempertingkat pemantauan kehadiran beruk dan kera liar yang berkemungkinan menjadi salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tersebut.

Beliau berkata, MPT merancang melantik kontraktor khusus bagi menjalankan kerja-kerja pemangkasan pokok tinggi bermula Julai ini, selain meningkatkan kekerapan penyelenggaraan pokok termasuk kerja-kerja pemangkasan dan penilaian kesihatan pokok secara berkala.

“Sejak tahun 2018 hingga 2024, sebanyak 470 batang pokok telah dipangkas dan ditebang membabitkan kos melebihi RM300,000,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berada di kawasan rekreasi serta mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, terutamanya ketika cuaca tidak menentu yang boleh meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang.

Terdahulu, akaun rasmi JKDM Perak memuat naik hantaran mengenai seorang pegawai wanita jabatan itu yang cedera ditimpa dahan pokok di Taiping, baru-baru ini.

Mangsa, Nurul Nadia Azira Tajarudin yang bertugas di Cawangan Cukai Dalam Negeri, Stesen Lumut dilaporkan cedera selepas ditimpa dahan pokok semasa berjoging di tempat kejadian.

Mangsa menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.  – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN