Eksport sawit terkesan, pekebun kecil masih terlindung

Eksport sawit terkesan, pekebun kecil masih terlindung

BUAH TANDAN SAWIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUKUHAN ringgit ketika ini menjadikan minyak sawit Malaysia lebih mahal di pasaran antarabangsa, sekali gus memberi kesan kepada daya saing eksport dalam jangka pendek.

Bagaimanapun, aktiviti dagangan hadapan (forward market) serta kontrak fizikal sedia ada dijangka membantu mengekalkan permintaan, sekali gus menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) dan tandan buah segar (TBS) di peringkat domestik.

Ini sekali gus membantu pekebun kecil mendapatkan harga TBS yang relevan sepanjang tahun.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, apabila ringgit mengukuh berbanding mata wang utama dunia, kos pembelian minyak sawit Malaysia meningkat kepada pembeli luar negara, walaupun harga MSM global kekal stabil.

“Apabila ringgit mengukuh, minyak sawit kita kelihatan lebih mahal kepada pembeli luar negara. Ini boleh menjejaskan permintaan jangka pendek, walaupun kita masih mempunyai pelanggan tetap yang telah mengunci harga melalui kontrak jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Adzim berkata, faktor cuaca panas dan kering yang melanda beberapa kawasan pengeluaran utama dijangka mengekang pengeluaran kelapa sawit dalam tempoh terdekat. 

Katanya, keadaan itu berpotensi mengimbangi kesan pengukuhan ringgit apabila bekalan berkurang sementara permintaan kekal.

“Pengurangan pengeluaran lazimnya berlaku pada suku pertama dan kedua tahun ini sebelum kembali meningkat pada separuh kedua, selari dengan corak bermusim industri sawit.

“Apabila bekalan berkurang dan permintaan masih ada, harga biasanya akan disokong. Justeru, walaupun ringgit mengukuh, faktor cuaca boleh membantu menstabilkan harga MSM dan TBS,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, harga TBS adalah sekitar 20 peratus daripada harga MSM, yang sering digunakan sebagai kaedah kiraan mudah dalam industri.

“Jika harga MSM sekitar RM4,000 satu tan, harga TBS biasanya sekitar RM800. Kalau MSM naik kepada RM5,000, TBS boleh mencecah RM1,000. Itu kiraan asas,” katanya.

Beliau menambah, harga MSM sekitar RM4,000 hingga RM4,300 ketika ini adalah paras normal, justeru unjuran TBS RM800 hingga RM900 dianggap munasabah dan stabil.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa harga TBS yang diumumkan tidak mencerminkan pendapatan bersih sebenar pekebun kecil, khususnya mereka yang tidak menjual terus kepada kilang.

“Walaupun harga TBS diumumkan RM800, pekebun kecil terpaksa menanggung kos pengangkutan, kos pengendalian, potongan kualiti dan caj lain. Potongan ini boleh mencecah RM150 hingga RM200 satu tan.

“Keadaan itu menyebabkan pekebun kecil hanya menerima sekitar RM650 hingga RM700 satu tan secara bersih, bergantung kepada lokasi dan saluran jualan,” katanya.

Berdasarkan dapatan semasa, sektor perladangan terus menjadi antara tumpuan utama dagangan pada sesi petang di Bursa Malaysia minggu lalu dengan beberapa kaunter berkaitan minyak sawit mencatatkan aktiviti belian yang aktif dalam suasana pasaran yang secara keseluruhan bergerak sederhana.

Kaunter perladangan diniagakan secara aktif susulan sentimen pelabur yang lebih positif terhadap prospek industri sawit, terutama berikutan kestabilan harga minyak sawit mentah (CPO) dan jangkaan pengeluaran yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini.

Antara kaunter perladangan utama yang aktif pada sesi petang termasuk Sime Darby Plantation Berhad, IOI Corporation Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan Genting Plantations Berhad. Saham-saham ini dilihat mencatatkan volum dagangan yang lebih tinggi berbanding purata harian, mencerminkan minat berterusan daripada pelabur institusi dan runcit.

Selain itu, kaunter seperti United Plantations Berhad, Sarawak Oil Palms Berhad, Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad turut menunjukkan pergerakan aktif, dengan pelabur dilihat mengambil posisi berdasarkan faktor asas syarikat serta jangkaan pendapatan yang stabil.

Selain itu, sektor perladangan sering dianggap sebagai kaunter defensif, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan pasaran global.

Walaupun sektor itu berdepan cabaran seperti kos input yang tinggi, kekangan tenaga buruh serta faktor cuaca, kebanyakan syarikat perladangan utama masih mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, selain kemampuan mengekalkan aliran tunai dan pembayaran dividen.

Selain itu, sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh perkembangan rantaian bekalan global, dasar perdagangan antarabangsa serta langkah kerajaan dalam menyokong industri sawit negara. 

Bagi pekebun kecil pula, pergerakan aktif kaunter perladangan di Bursa Malaysia sering dilihat sebagai petunjuk awal kepada prestasi industri secara keseluruhan, walaupun harga saham tidak semestinya mencerminkan secara langsung harga TBS di peringkat ladang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN