Momen terbaik Baeksang Arts Awards ke-61 - Utusan Malaysia

Momen terbaik Baeksang Arts Awards ke-61

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK 1965, Baeksang Arts Awards mula dianjurkan sebagai acara berpretij oleh sebuah akhbar Hankook Ilbo. Baeksang bermaksud ‘gajah putih’ yang menjadi simbol kekuatan, nilai dan keunikan.  

Sehingga kini Baeksang Arts Awards (BAA) kekal keramat setara Oscar di Hollywood untuk menilai dan menghargai bakat penggiat seni Korea Selatan.

Memasuki tahun ke-61 penganjuran, Baeksang Arts Awards sekali lagi tampil dengan pencalonan sengit untuk 31 kategori yang dipertandingkan terutama dua anugerah utama Daesang (drama dan filem), Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Berikut adalah beberapa momen menarik sepanjang Baeksang Arts Awards (BAA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen & Pameran COEX, Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

When Life Gives You Tangerines menang terbanyak

Drama popular When Life Gives YouTangerines (WLGYT) rupanya tidak hanya tular diperkatakan. Malah, ia juga diiktiraf juri sehingga menggondol hampir keseluruhan kategori utama iaitu Drama Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik untuk Lelaki dan Wanita.

Walaupun tidak menggondol anugerah sebanyak (WLGYT), namun Filem Harbin antara yang mencuri tumpuan apabila membawa pulang piala tertinggi Daesang yang diberikan kepada pengarah fotografi, Hong Kyung Pyo. Harbin turut membawa pulang gelaran Filem Terbaik untuk BAA ke-61. 

Peminat kecewa IU tidak menang

Bintang popular IU, menjadi antara nama yang diperkatakan bakal membawa pulang piala kerana melakonkan dua jenis karakter  dalam When Life Gives You Tangerines. Namun begitu, rezeki kali ini memihak kepada Kim Tae-ri (sekali lagi) menerusi lakonan dalam Jeongnyeon: The Star Is Born. 

Namun begitu, rata-rata turut bersetuju Kim Tae-ri adalah individu yang mendapatkan piala tersebut melihat persediaannya selama setahun untuk memegang watak Yoon Jeong-nyeon iaitu gadis muda yang mahu menjadi bintang teater tradisional, gukgeuk.

Momen pelakon cilik ucap terima kasih kepada senior

Turut tular ialah momen manis di mana seorang pelakon kanak-kanak, Kim Tae-yeon menerima anugerah  Anugerah Pelakon Pendatang Baru. Dalam  When Life Gives You Tangerines dia menjadi anak kepada IU. Ketika menerima penghargaan, dia mengucapkan terima kasih kepada IU kerana membantunya sepanjang penggambaran.

Penonton cair lihat  Byeon Woo-seok, Kim Hye-yoon

Walaupun drama Lovely Runner tidak memenangi apa-apa anugerah, namun pelakonnya Byeon Woo-seok dan Kim Hye-yoon tetap menyandang Anugerah Paling Popular Prism menerusi lakonan mereka dalam drama tersebut. Sehingga kini, ramai peminat berharap pelakon tersebut menjalin hubungan cinta di dunia nyata. Lebih mencuri tumpuan video Kim Hye-yoon memegang tangan Byeon Woo seok di atas pentas sebelum meninggalkan majlis.

Keserasian pengacara yang memukau

Tahun ini menyaksikan tiga pengacara bergabung iaitu pelawak Shin Dong-yup, pelakon, Bae Suzy dan Park Bo-gum. Kehadiran mereka bertiga di atas pentas mengendalikan anugerah berprestij itu dipuji apabila mereka nampak serasi sehingga tiada langsung momen canggung sepanjang majlis berlangsung. Ada sahaja lawak spontan antara mereka bertiga membuatkan penonton tidak kering gusi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN