Model VISTA baharu PETRONASperkasakan pembangunan bakat

Model VISTA baharu PETRONAS perkasakan pembangunan bakat

SELAMA lebih tiga dekad, PETRONAS telah memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat mahir untuk industri minyak dan gas melalui program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH tiga dekad, PETRONAS telah menjadi pemangkin untuk memupuk bakat berkemahiran tinggi dalam industri minyak dan gas, berkembang seiring dengan kebolehupayaan dan inovasi industri yang semakin meningkat.

Ketika meraikan 50 tahun kewujudannya, syarikat tenaga global yang dinamik ini terus memartabatkan pembangunan tenaga kerja, khususnya melalui program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA).

Dilaksanakan dengan kerjasama pemain industri utama, VISTA berperanan untuk memastikan latihan teknikal kekal selari dengan keperluan dunia masa kini, membantu membina kumpulan tenaga kerja yang dipersiapkan untuk landskap tenaga yang dinamik.

Mula diperkenalkan pada 1992, VISTA kini dipertingkatkan sebagai VISTA i-Plus – model yang lebih bersepadu dan diterajui industri yang direka khusus untuk memastikan ketersediaan profesional mahir bukan sahaja untuk PETRONAS, tetapi untuk ekosistem minyak dan gas secara amnya.

“Ini bukan sekadar inisiatif PETRONAS, ia adalah komitmen kolektif oleh industri, untuk industri,” kata Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia PETRONAS, Ruslan Islahudin.

“Melalui VISTA i-Plus, kami mewujudkan ekosistem yang tersusun dan kolaboratif di mana pemain industri, agensi kerajaan dan institusi bekerjasama untuk membina bakat yang sedia pada masa hadapan.”

Sehingga kini, program itu telah menyokong 35 institusi di seluruh negara dan menyalurkan lebih RM90 juta untuk melatih hampir 12,000 graduan dalam kemahiran yang kritikal untuk sektor minyak dan gas.

Pendekatan kerjasama yang dilakukan oleh PETRONAS sejak sekian lama ini terus mengukuhkan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) dengan meluaskan akses kepada bakat yang cekap, terutamanya dalam bidang yang mendapat permintaan tinggi seperti kimpalan 6G, perancah dan pemasangan, pemasangan paip, dan kimpalan.

 

Malah, syarikat turut menanda aras model yang dipertingkatkan itu berdasarkan amalan terbaik daripada 10 negara terkemuka untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti Jerman, Korea Selatan dan Australia, di mana kerjasama antara industri – pendidikan – kerajaan yang kukuh merupakan kunci utama kepada kejayaannya.

“Malaysia mempunyai lebih daripada 1,300 institusi TVET, dengan kira-kira 500 yang berkaitan dengan sektor perniagaan minyak dan gas. Memperkukuhkan ekosistem ini secara kolektif adalah penting bagi memenuhi permintaan industri serta membuka peluang limpahan ekonomi yang lebih luas,” kata Ruslan.

Tunjang utama kepada VISTA i-Plus ialah Majlis Penasihat VISTA (VAC) yang terdiri daripada pemimpin serta peneraju utama industri seperti Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas & Tenaga Malaysia (MOGSC), Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp), Kontraktor Pengurusan Petroleum (PAC) dan PETRONAS.

Majlis ini memainkan peranan yang sangat penting dalam bersama membentuk strategi pembangunan tenaga kerja untuk industri minyak dan gas untuk memastikan VISTA i-Plus tidak hanya ditadbir oleh satu syarikat, tetapi oleh suara kolektif sektor tersebut.

Program ini turut menampilkan dua platform tadbir urus yang lain iaitu Jawatankuasa Kerja VISTA (VWC) yang menyelia pelaksanaan dan Rangkaian Keterlibatan VISTA (VEN) yang menyediakan institusi latihan dengan sumber berpusat dan perkongsian pengetahuan.

Bersama-sama, semua penggerak yang terlibat ini membentuk rangka kerja yang responsif dan berdaya tahan untuk memastikan model VISTA adalah selari dengan keperluan industri yang kian berkembang.

Kejayaan model VISTA i-Plus boleh diukur melalui beberapa metrik, antaranya termasuklah kadar pengambilan program, kursus dan inisiatif; penyertaan aktif oleh industri secara keseluruhannya dalam menyokong model berkenaan; dan peningkatan kadar kebolehpasaran untuk memenuhi permintaan tenaga kerja untuk industri minyak dan gas.

Keberkesanannya juga boleh diukur melalui sokongan daripada pemain industri, mekanisme untuk memanfaatkan levi sedia ada, penubuhan VISTA i-Plus sebagai pilihan utama dalam kalangan pihak berkepentingan industri serta kapasiti institusi pembelajaran untuk menghasilkan kumpulan bakat yang seiring dengan permintaan pasaran.

Menurut Ruslan, falsafah ‘oleh industri, untuk industri’ adalah teras kepada pendekatan VISTA i-Plus dan disokong oleh komitmen kuat pihak berkepentingan utama yang mengambil bahagian secara aktif sebagai ahli majlis.

Komitmen ini, katanya, akan memastikan kemampanan jangka panjang model dengan peranan dan tanggungjawab yang jelas serta jangkaan yang sama untuk semua yang terlibat.

“Industri lain selain minyak dan gas juga boleh mendapat manfaat dengan menggunapakai model kerjasama yang serupa, mewujudkan sinergi rentas industri. Sebagai contoh, pengimpal yang dilatih melalui kursus khusus boleh menggunakan kemahiran mereka dalam kedua-dua industri minyak dan gas serta industri automotif, memupuk tenaga kerja yang serba boleh,” tambah Ruslan.

Ketika Malaysia sedang beralih kepada ekonomi karbon rendah, adalah penting bagi ekosistem TVET diperkukuh merentasi industri bagi memastikan kumpulan pekerja mahir mampan yang terlatih dalam menyokong teknologi hijau dan amalan lestari.

Selain bermatlamat menyokong pembangunan negara, inisiatif ini turut meletakkan Malaysia sebagai model bagi ekonomi lain dengan tujuan untuk meningkatkan sistem TVET mereka.

Memandang ke hadapan, PETRONAS telah mengenal pasti tiga keutamaan strategik untuk VISTA i-Plus: menyelaraskan latihan seiring dengan permintaan semasa industri, memfokuskan praktikal, pembelajaran amali, serta memupuk penyertaan industri yang kukuh melalui bimbingan, laluan kerjaya dan peluang pembangunan berterusan.

“Membangunkan bakat tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Melalui VISTA i-Plus, kami mengukuhkan kepercayaan bahawa pembangunan bakat adalah tanggungjawab bersama dan apabila kami melakukannya secara kolektif, kami membina industri yang lebih kukuh, lebih mampan untuk semua,” kata Ruslan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN