PETALING JAYA: Lebih 5,000 pengunjung hadir dalam karnival hubungan pengukuhan kerjasama awam-tentera atau dikenali Civil-Military Cooperation (CIVIC) anjuran Markas Angkatan Bersama (MKAB).
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin berkata, karnival selama dua hari yang diadakan di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang itu bagi mempertingkatkan kepercayaan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, karnival itu juga sebagai platform memperkukuh kerjasama strategik antara ATM dan orang awam.
“Karnival melalui pendekatan mesra bersama rakyat sejajar dengan Teras 4 Pelan Strategik Kementerian Pertahanan 2021-2025 dalam usaha memperkasa konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
“Ia secara tidak langsung dapat memperkukuhkan penglibatan komuniti dan agensi lain sekali gus mempererat jalinan kerjasama strategik serta memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pelbagai program menarik ditawarkan sepanjang karnival yang diadakan pada 23 dan 24 Mei termasuk pameran kerjaya ATM, pameran aset dan senjata, pertunjukkan payung terjun bebas, pertunjukkan tambor, senamrobik, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, pertandingan mewarna serta pelbagai lagi aktiviti yang bersifat informatif dan interaktif.
Karnival itu turut melibatkan penyertaan aktif dari agensi tempatan seperti Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Pahang; Majlis Bandaraya Kuantan, Pejabat Kesihatan Daerah Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang; Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Lembing.
Selain itu, karnival turut melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Markas Wilayah Udara (MAWILUD), Pangkalan Udara Kuantan (PU Kuantan) dan Briged Ke-4 Infantri Malaysia (Mekanize). – UTUSAN