PETALING JAYA: Mengakui tidak selesa melakonkan adegan melibatkan keganasan, selebriti, Iqram Dinzly akan meminta maaf kepada rakan pelakon sebelum penggambaran bermula.
Jelas Iqram atau Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 43, dia khuatir tersilap langkah sehingga menyebabkan kecederaan kepada rakan pelakon yang lain.
“Saya kalau boleh tidak mahu lagi melakonkan adegan bersentuhan serta babak kekasaran yang keterlaluan. Dahulu zaman muda, saya buat sahaja ikut kehendak, tapi kini saya risaukan banyak keadaan khususnya rakan pelakon dan mahu menyantuni mereka.
“Saya minta maaf awal-awal sebelum melakonkan adegan itu. Contohnya Alya Iman, saya minta izin pegang kepala, tapi dia sangat profesional walau kena pukul dan hentak. Cuma dia pesan jangan tarik rambut kuat-kuat sebab dia pakai ‘extension’.
“Pendek kata, memang sekarang saya akan minta izin dulu kalau ada babak tampar. Syukur saya berjaya lakukannya berkat bantuan pengarah dan pelakon lain juga,” katanya.
Iqram ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran drama Pabila Dia Tersenyum yang berlangsung di Sunway Pyramid, Selangor, baru-baru ini.
Tambah pelakon Dunia Baru itu lagi, pada awalnya dia berat hati untuk melakonkan karakter narsistik bernama Imran Faris, namun dia tetap mengambil tawaran tersebut kerana yakin lakonannya boleh memberi kesedaran kepada masyarakat umum.
“Sebenarnya sepanjang menjayakan karakter ini, saya sangat tidak okay. Tapi saya ambil tawaran ini kerana saya suka mengkaji tentang kesihatan mental, apa yang saya perhatikan, zaman sekarang ramai narsistik,
“Melalui lakonan ini, saya nak bagi kesedaran terutama kepada ibu bapa untuk awasi anak generasi kini yang mempunyai mental yang kritikal. Mereka nampak tenang tapi dalamannya kurang,” jelasnya.
Turut sama menjayakan drama Pabila Dia Tersenyum ialah Amir Ahnaf, Adam Lee dan Marissa Yasmin.
Drama ini sudah ditayangkan menerusi platform VIU bermula 24 April 2025. – UTUSAN