PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan langkah rombakan Kabinet dengan menegaskan keperluan memberi ruang kepada barisan kepimpinan baharu yang lebih muda sebagai persediaan memperkukuh kerajaan dan parti dalam jangka panjang.
Perdana Menteri berkata, senario semasa menunjukkan kemunculan generasi pemimpin muda yang berpengalaman dan mampu berperanan sebagai generasi kedua serta ketiga dalam kepimpinan negara.
“Jika anda melihat senario keseluruhan, kita dapat melihat kemunculan barisan kepimpinan baharu yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.
“Ia adalah generasi muda yang berpengalaman dan boleh dianggap sebagai generasi kedua dan ketiga kepimpinan parti,” katanya ketika taklimat media bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini, hari ini.
Menurut Anwar, rombakan Kabinet tidak dapat dilaksanakan pada peringkat awal pentadbiran kerana keutamaan ketika itu adalah memastikan kestabilan serta kekuatan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau berkat, kedudukan kerajaan kini sudah lebih kukuh, sekali gus membolehkan langkah pembaharuan dilakukan dengan lebih yakin.
“Namun kini, apabila kedudukan kita sudah lebih kukuh, saya fikir kita mampu melangkah ke hadapan,” katanya.
Mengimbas kembali pengalaman pada era 1990-an, Anwar berkata, usaha membina dan memperkukuh generasi kepimpinan ketiga pernah dilakukan secara berperingkat dan terancang.
Beliau menegaskan, pembaharuan kepimpinan penting bagi menjadikan parti dan kerajaan lebih kuat serta inklusif.
Mengulas contoh tindakan beliau menggugurkan Datuk Seri Zaliha Mustafa, Anwar berkata, perjalanan kepimpinan bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan ketahanan serta kesabaran.
“Ambil contoh Zaliha Mustafa. Beliau telah bersama parti sejak awal. Perjalanannya bukan mudah dan tidak berlaku dalam tempoh singkat. Ada ketika beliau melalui fasa yang mencabar, tetapi akhirnya beliau berjaya,” katanya.
Tambah beliau, setiap pemimpin perlu memahami keperluan memberi ruang kepada bakat baharu, di samping memastikan tugas dan amanah sedia ada terus dilaksanakan.
“Saya percaya beliau juga memahami bahawa saya mempunyai ruang dan tanggungjawab untuk mengembangkan barisan kepimpinan, dan pada masa yang sama memastikan beliau terus melaksanakan peranan yang diamanahkan sebelum memberi laluan kepada wajah-wajah baharu,” katanya.
Anwar turut menegaskan rombakan Kabinet bukan bertujuan menggantikan rakan-rakan terdekat daripada generasinya semata-mata, sebaliknya memberi peluang kepada pasukan yang lebih muda dan berkeupayaan.
“Saya tidak menggantikan rakan-rakan terdekat daripada generasi saya semata-mata. Sebaliknya, saya memberi peluang kepada pasukan yang lebih muda. Mereka mungkin tidak begitu dekat dengan saya secara peribadi, tetapi mereka adalah satu pasukan yang muda, berkeupayaan dan wajar diberi peluang,” katanya.
Menurut beliau, proses pembaharuan kepimpinan perlu diteruskan secara berperingkat dan berterusan demi kelangsungan serta kekuatan negara.
“Proses pembaharuan ini mesti diteruskan. Inilah masanya untuk perubahan berlaku secara berperingkat dan berterusan,” katanya.
Mengulas pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Anwar menegaskan, langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan awam berfungsi untuk semua kaum.
Beliau turut menegaskan, menolak seseorang kerana warna kulit atau latar rakyatnya adalah sesuatu yang menjengkelkan dan tidak wajar pada masa kini.
“Apabila seorang Menteri Wilayah Persekutuan dilantik, timbul dakwaan bahawa pelantikan Menteri bukan Melayu akan menyebabkan orang Melayu terpinggir.
“Hakikatnya, penjawat awam, termasuk pengarah jabatan dan pegawai kerajaan, berfungsi sebagai satu pasukan untuk berkhidmat kepada semua kaum,” katanya. – UTUSAN










