TELUK INTAN: Seorang lelaki tidak menyangka hidangan kuetiau goreng menjadi permintaan terakhir yang ditunaikan untuk abangnya, Sarjan S. Perumal, 44.
Perumal yang bertugas di Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 di Sungai Senam, Ipoh itu antara sembilan anggota yang maut dalam nahas di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 8 pagi itu membabitkan kenderaan membawa 18 anggota FRU dengan sebuah lori muatan batu dipandu lelaki berusia 45 tahun.
Menurut S. Ahrentheren, 41, kali terakhir dia bertemu abang sulungnya itu pada Sabtu lalu ketika menyerahkan makanan kegemaran mendiang.
“Dia minta saya belikan kuetiau goreng. Saya beli dan hantar kepada dia untuk dibawa balik. Itulah kali terakhir kami jumpa dan hari ini dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan di sini hari ini.
Ahrentheren berkata, dia bergegas ke hospital setelah menerima maklumat kejadian itu pada pukul 9.45 pagi.
“Ketika dimaklumkan mengenai tragedi itu, saya sedang bercuti dan membawa anak-anak keluar membeli kuih serta menghantar makanan ke rumah anak yatim.
“Selepas terima panggilan, saya tinggalkan anak-anak di rumah kawan dan bergegas ke sini,” katanya. – UTUSAN