Suruhanjaya Sekuriti diminta siasat skim pelaburan i-RPS

Suruhanjaya Sekuriti diminta siasat skim pelaburan i-RPS

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) bersama mangsa pelaburan i-RPS pada sidang akhbar di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) diminta menyiasat dakwaan penipuan pelaburan membabitkan skim saham patuh syariah atau saham boleh tebus syariah (i-RPS) melibatkan kerugian mencecah RM80 juta.

Gesaan itu dibuat selepas pertubuhan itu menerima aduan daripada 232 pelabur yang mendakwa menjadi mangsa pelaburan yang ditawarkan beberapa syarikat tempatan melalui agen pemasaran tanpa lesen, serta disyaki tidak sah di sisi undang-undang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim pelaburan i-RPS itu dipercayai dipromosikan kepada pelabur awam walaupun ia hanya dibenarkan kepada pelabur sofistikated sebagaimana ditetapkan dalam peraturan Suruhanjaya Sekuriti.

“Maklumat yang diberikan kepada pelabur melalui dokumen Memorandum Informasi (IM) sangat mengelirukan. 

“Ia sepatutnya hanya sah untuk pelabur profesional yang melabur dengan jumlah besar, bukannya pelabur awam yang hanya menyumbang antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sidang akhbar terbabit turut dihadiri 232 pelabur yang dilaporkan tertipu dengan pelaburan patuh syariah tersebut. 

Tambah beliau, walaupun syarikat-syarikat terbabit telah menyerahkan IM kepada SC , ramai pelabur awam tersalah faham dan menyangka pelaburan mereka telah diluluskan oleh suruhanjaya tersebut.

Menurut Hishamuddin, terdapat juga pelabur yang mendakwa syarikat terlibat gagal membayar dividen seperti dijanjikan malah ada yang tidak menerima sebarang pulangan langsung sejak menyertai skim berkenaan sekitar tahun 2023.

“Pelabur yang masuk lebih awal mungkin menerima sedikit dividen. Tetapi ia menimbulkan syak wasangka sama ada wang pelabur baharu digunakan untuk membayar pelabur lama,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan penglibatan beberapa tokoh agama yang dilantik sebagai penasihat syariah dalam syarikat terbabit, yang menurutnya memberi persepsi palsu kepada orang awam mengenai kesahihan dan keabsahan pelaburan itu.

“Kami minta Suruhanjaya Sekuriti menyiasat bagaimana figura-figura berpengaruh itu boleh digunakan bagi memperdaya pelabur awam dan sekiranya terdapat unsur penipuan serta penggubahan wang haram (AMLATFPUAA), tindakan undang-undang harus segera diambil,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurutnya, lebih 60 peratus daripada pelabur terlibat terdiri daripada pelabur awam dan dipercayai terdapat ribuan lagi yang masih belum tampil membuat aduan.

Dalam pada itu, Hishamuddin menafikan dakwaan bahawa MHO bersubahat atau melindungi ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman dalam kes pelaburan yang didakwa menipu pelabur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN