MH17 tidak wajar dipolitikkan, Malaysia tegas cari penyelesaian

MH17 tidak wajar dipolitikkan, Malaysia tegas cari penyelesaian

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan berganjak daripada posisi untuk mencari jalan penyelesaian dan menegakkan keadilan, khususnya kepada keluarga dan juga mangsa insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, bagaimanapun, Malaysia juga perlu bijak dalam mengatur langkah menangani isu itu.

Jelasnya, laporan terkini penemuan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung Russia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 yang dikeluarkan sehari sebelum lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Moscow, perlu diteliti.

“Saya fikir hal ini seperti yang disebut semalam oleh Perdana Menteri adalah tidak wajar ia dipolitikkan.

“Dalam keadaan sekarang, perkara terbaik bagi kita ialah mencari jalan dan juga kaedah untuk menyelesaikan kemelut ataupun masalah yang timbul,” katanya.

Pada masa ini, katanya, terdapat desakan untuk Perdana Menteri bertindak tegas dalam hal yang menyebabkan tragedi MH17.

“Dalam pertemuan tertutup bersama Presiden Russia, Vladimir Putin semalam, isu ini telah dibangkitkan secara langsung oleh Perdana Menteri,” katanya.

Isnin lalu, ICAO yang merupakan badan penerbangan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memutuskan Russia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat itu.

Selepas membangkitkan isu MH17 semasa rundingan dua hala di Kremlin, Anwar berkata, beliau akan memberikan penjelasan kepada keluarga mangsa kerana Putin menolak laporan ICAO yang dianggap tidak bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN